
Ini Punca Harga Bawang Kerap Naik Dan Kenapa Malaysia Tak Tanam Sendiri
Punca Harga Bawang Kerap Naik Dan Kenapa Malaysia Tak Tanam Sendiri
Sebenarnya, kenaikan mendadak harga bawang kerap terjadi lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam ekonomi yang tidak menentu ini.
Baru-baru ini, seorang peniaga burger merungut tentang kenaikan mendadak harga bawang dalam masa sehari menerusi media sosial.
Peniaga itu turut mengirimkan dua gambar paparan harga bawang yang dipercayai diambil dari pembekal, sebagai perbandingan harga dengan hari sebelumnya.
Menerusi ciapannya di laman sosial Twitter, dalam masa sehari harga bawang melonjak naik dari RM18 kepada RM27, katanya dalam keadaan PKPB, pelanggan semakin kurang, namun terpaksa membayar sewa, dan bil.
Malah, dia turut mempersoalkan di manakah menteri yang terlibat dan adakah harga barangan tidak dikawal.
Kepala hotak dia. Semalam baru naik RM18, hwri ni naik RM27. Gilalah. Mana menteri jaga harga barang ni? Dah lah PKPB, sewa, bil, semua kena bayar takda discount. Customer makin kurang sebab ramai takda gaji. Mana menteri ni!!?? pic.twitter.com/G2nLNHTt8i
— hanifmz | ☕ | Putéh (@hanifmz) November 18, 2020
Menjawab persoalan tersebut, seorang pembekal barangan kering termasuk bawang tampil mengulas isu harga bawang yang naik mendadak.

Menurutnya, punca harga bawang naik adalah disebabkan:
1. India merupakan pembekal bawang terbesar di dunia namun disebabkan hal-hal yang terjadi di sana misalnya bencana banjir telah mengakibatkan beberapa ladang tidak dapat menuai hasil tanaman sehingga kekurangan bekalan.
2. Oleh itu, India terpaksa hentikan eksport bawang kerana penggunaan dalam negara yang tidak mencukupi.
3. Walaupun para pembekal bertukar bekalan bawang di Pakistan, namun masih tidak mencukupi berikutan permintaan tinggi di seluruh dunia.
Lazimnya orang ramai terutamanya suri rumah lebih menyukai bawang yang diimport dai India sungguhpun Malaysia juga mengimport bawang dari Belanda, Pakistan dan China.
Kenapa Malaysia tak tanam bawang sendiri?
Hampir semua masakan Malaysia menggunakan bawang merah sebagai bahan utama dalam masakan.
Antara persoalan yang ramai nak tahu adalah mengapa Malaysia tidak tanam bawang berskala komersial?
Apabila perkara ini diajukan kepada pihak berwajib jawapannya ialah tidak ekonomik jika petani menanam bawang dan harganya akan menjadi lebih tinggi daripada yang diimport selain faktor cuaca negara ini yang tidak sesuai dengan tanaman bawang.
Penanaman bawang secara berskala komersial memerlukan kos pengeluaran yang tinggi.
Bawang yang ditanam tidak akan membesar seperti yang dikehendaki tanpa kos yang tinggi kerana bawang memerlukan cahaya matahari 13 jam bagi menghasilkan biji benih baru dan bebawang berkualiti.
Sementara di Malaysia, kita hanya menerima di antara 6-8 jam pencahayaan matahari yang menyebabkan bawang berbunga awal.
Justeru, negara India merupakan pengeluar bawang terbesar kerana kedudukan negara mereka menerima cahaya 12-13 jam sehari pada musim panas.
Selain itu, kos bawang yang diimport dari India lebih murah disebabkan beberapa faktor lain antaranya perusahaan tanaman di negara itu dilakukan secara manual, yang tentunya memerlukan tenaga kerja yang ramai dan India mudah untuk mendapatkan tenaga kerja berbanding Malaysia.
Kalau Malaysia hendak laksanakan penanaman bawang, perlu melabur menggunakan kepelbagaian teknologi yang dapat meningkatkan hasil pengeluaran serta mengurangkan kos.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Kini, Bob SB,