
Ini Gambaran Impak Jika Semua Senjata Nuklear Meletup
Ketegangan antarabangsa sudah memuncak berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dan arahan Vladimir Putin akan menyebabkan kebimbangan berterusan.
Presiden Rusia baru-baru ini dilaporkan telah mengarahkan pasukan nuklear Rusia dan semua pasukan ketenteraannya untuk berada dalam situasi bersiap sedia.
Arahan itu berpunca daripada kenyataan agresif Barat ketika Rusia dikecam hebat berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Moscow mempunyai senjata nuklear terbesar di dunia dan gudang besar peluru berpandu balistik yang menjadi ‘tulang belakang’ pasukan pencegahan negara. Betapa membimbangkan jika negara kuasa nuklear ini benar-benar menggunakan senjara pemusnah itu.
Anggaran senjata nuklear milik Rusia adalah sebanyak 6,800 dan jumlah ujian yang telah dilakukan sebanyak 715 kali. Ujian yang dilakukan buat pertama kali pada Ogos 1949 dan yang terakhir pada Oktober 1990.
Selain itu, Rusia juga merupakan pemilik bom nuklear paling berkuasa di dunia, dikenali sebagai Tsar Bomb yang mempunyai kekuatan 50-58 megaton TNT.
Menurut laporan, bom berkenaan pada asalnya mempunyai kekuatan 100 megaton, bagaimanapun terpaksa dikurangkan selepas penyelidik Soviet ketika itu menyimpulkan kekuatan berkenaan terlalu bahaya dan sukar untuk diramal.
Bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun iaitu Little Boy mempunyai kekuatan 15 kiloton TNT dan Fat Man, 21 kiloton TNT.
Amerika Syarikat pula memiliki senjata nuklear sebanyak 6,550 dan jumlah ujian nuklear sebanyak 1,030. Kali pertama senjata ini diuji pada tahun 1945 dan ujian terakhir adalah pada September 1992.

Impak jika senjata nuklear meletup
Meskipun senjata ini memberi kemusnahan amat dahsyat, namun negara-negara kuasa besar dunia tetap menyimpannya. Sudah pastinya, jika berperang menggunakan bom nuklear, kesudahannya pasti tidak terbayang dan membawa kepada kehancuran tamadun umat manusia jika ia betul-betul berlaku.
Gambaran ini boleh dilihat menerusi sebuah saluran di YouTube bernama Kurzgesagt yang memuat naik video simulasi jika senjata nuklear dilancarkan di seluruh dunia.
Hanya menggunakan tiga senjara nuklear, sudah cukup untuk memusnahkan sebuah bandar raya. Justeru, jika 13,500 senjata nuklear dianggarkan mampu memusnahkan kesemua 4,500 bandar di Bumi.
Video tersebut membandingkan kuasa 15,000 senjata nuklear dengan tiga billion tan TNT atau 15 kali lebih dahsyat daripada letusan gunung berapi terkuat di dunia iaitu Karakatau.
Jika semua senjata nuklear meledak di tempat yang sama, ia akan mencipta bebola api selebar 49.9 kilometer yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Gelombang letupan itu akan memusnahkan segala-galanya di laluannya sejauh 1,392.08 kilometer.
Di luar radius kemusnahan itu, gelombang tekanan akan dirasai di seluruh dunia selama berminggu-minggu selepas letupan yang begitu kuat sehingga ia juga didengari di seluruh dunia.
Awan berbentuk cendawan yang terhasil daripada letupan akan menjadi sangat tinggi sehingga mencapai pinggir atmosfera Bumi sehingga hampir menembusi angkasa lepas.
Radiasi juga akan membunuh segala-galanya dalam radius letupan dan menyebabkan ratusan kilometer di sekelilingnya tidak dapat didiami.
Sumber: Britannica, Daily Star