
Ini Cara Paling Mudah Untuk Menggembirakan Orang Lain Dalam Hidup Kita
Tanpa disedari, kadangkala kita leka dan terlupa tentang satu cara yang paling mudah untuk menggembirakan orang lain di sekeliling kita.
Melihat pada situasi semasa pula, didapati banyak kisah keruntuhan akhlak dan runtuhnya budi bahasa di kalangan masyarakat dikongsikan di media sosial.
Dari yang melibatkan kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa berjawatan tinggi dan bekerjaya profesional, didapati budaya kurang ajar dan tidak beradab kini semakin menjadi kebiasaan.
Terima kasih kepada seorang pengguna Facebook ‘Azizah Mohamed yang berkongsi satu kisah positif mengenai bagaimana caranya untuk memupuk akhlak yang baik seterusnya menggembirakan orang lain hanya dengan cara yang sangat mudah.
Perkongsian yang sangat bermanfaat dari beliau ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan kita selama ini yang sudah terlupa tentang betapa pentingnya tutur kata dan bicara yang baik dalam kehidupan seharian.
Beberapa hari lepas. Saya hidang mee goreng untuk mak ayah.
Mak rasa sesuap.
“Sedap, Zah. Secukup rasa.”
Giliran ayah pula makan. Habis sepinggan ayah bersuara,
“Sedap betul mee Zah. Boleh buka warung depan rumah ni. Hantar Asma’ pergi sekolah, lepas tu start masak. Fuh!”
Ada sekali tu saya hidang ayam masak merah. Mak kata sedap.
Nak tahu ayah komen apa?
“Sedapnya. Macam ni gaya boleh jual dah. Cukup rasa. Eh serius ni. Jual lah. Ayah boleh jadi runner. Oven kat dapur muat berapa ekor ayam? Kalau jadi bisnes kita tukar oven besar.”
Pecah ketawa tukang masak dengar. Padahal ayam masak merah tak guna oven pun 😂
Terhibur sungguh. Hilang sakit pinggang berdiri lama di dapur. Walhal saya tahu masakan saya sangat sederhana. Namun terasa dihargai sebaiknya.
Alhamdulillah.
Hakikatnya, itulah pemandangan di meja makan sejak kecil. Ayah akan puji apa jua air tangan mak. Di hadapan kami.
“Alhamdulillah. This is the best dinner for today!”
Ayat legend ayah. Riuh kami gelak ketawa di meja. Sebab dinner memang sekali sehari kan 😂
Bila kami dah besar ayah puji masakan anak dan menantu. Jarang ayah komen sepatah. Mesti ada extra feedback yang selalu buat kami ketawa terhibur.
Dan mak pula akan berterima kasih untuk setiap masakan yang terhidang. Sedangkan apalah sangat nak dibandingkan dengan air tangan mak sepanjang membesarkan kami.
Ini bukan post bercerita kesedapan masakan sendiri. Tidak sama sekali.
Namun melalui mak ayah,
Kami belajar betapa mudahnya menggembirakan orang dengan kata-kata yang baik.
Perkataan yang baik akan pergi jauh. Meresap masuk ke dalam hati pendengar. Lantas memberatkan neraca amal soleh kita.
Insya-Allah.
Perkataan yang buruk juga akan pergi jauh.
Menyakitkan hati pendengar. Lalu menjadi pemberat dosa. Melambatkan urusan kita memasuki syurga.
Nauzubillah.
Maka, selagi bernyawa, hati-hati memilih perkataan kita. Moga setiap patah kata menjadi penyelamat di akhirat sana. Di saat mulut ini tidak lagi boleh bersuara mempertahankan kita.
Terima kasih ayah.
Terima kasih mak.
Terima kasih ibu ayah semua.
Syurgalah buat kalian yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik. Moga Allah izinkan kita semua berkumpul di sebaik-baik tempat di Syurga.
Yang padanya ‘mereka tak akan mendengar percakapan yang sia-sia dan yang menimbulkan dosa’. (Al-Waqiah: 25)
Aamiin ya Mujib.
Anak yang menyerap pelbagai kisah,
‘Azizah Mohamed.
BACA: 7 Penyebab Anak Mula Tunjuk Perangai Kurang Ajar
Sumber & kredit foto: Facebook ‘Azizah Mohamed
Trending now



