Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan, Anda Adalah Penjenayah Yang Boleh Didenda Dan Dipenjarakan

Sumber: The Star

Terasa mahu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan?

Maka bersiap sedialah dengan hukuman yang bakal anda hadapi.

Malam 16 Mac lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa pada tengah malam 18 Mac.

BACA: JANGAN PANIK! Bukan ‘LockDown’, Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Perintah Kawalan Pergerakan Oleh Kerajaan

Menekankan kepada enam perintah iaitu:

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self-quarantine) selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

95% Pelancong China India Tiada Rekod Keluar
Sumber: The Star

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Jika anda masih ingkar mematuhi enam perintah ini, anda adalah penjenayah yang boleh dikenakan hukuman denda dan dipenjara di bawah Seksyen 11(4) bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan merupakan satu kesalahan jenayah dan moral dan boleh dipenjara

“Perintah tersebut demi menjaga kemaslahatan rakyat serta kepentingan semua berdasarkan keadaan semasa, di mana bilangan suspek serta mangsa COVID-19 yang semakin meningkat serta terbaharu, melibatkan kes yang meragut dua nyawa.”

Sedikit maklumat tambahan, Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan mengatasi arahan majikan kepada pekerja kerana perikatan kontrak antara majikan dan pekerja adalah tertakluk di bawahnya.

Sumber: Astro Awani