
“Ingatkan Tak Wujud” – Pemilik Nombor Telefon Tertekan Dihujani Panggilan Peminat ‘Squid Game’
Baru sahaja beberapa hari ditayangkan di Netflix, siri drama ‘Squid Game’ sudah menggunguli carta dengan meraih tempat pertama dalam senarai Top 10 TV Show.
Kepopularannya menjadi fenomena apabila buka sahaja mana-mana platform media sosial pasti anda akan melihat kandungan yang dikaitkan dengan drama ini.
Dalam pada ramai yang mengagumi jalan cerita yang dipaparkan dalam siri drama ini, turut terbongkar juga beberapa kesilapan yang dilakukan pihak produksi Squid Game.
Bagi anda yang sudah menonton siri ini, pasti tahu ada nombor telefon tertera pada sekeping ‘kad jemputan’ yang diberikan kepada para pemain survival itu.
Dalam drama terbabit, mereka yang berminat untuk sertainya akan menelefon nombor berkenaan.
Sebagai penonton, pastilah menyangkakan nombor telefon yang tertera hanyalah rekaan semata-mata. Bagaimanapun, nombor telefon itu telah beberapa kali dihubungi oleh para peminat Squid Game dan sangkaan meleset apabila nombor berkenaan benar-benar wujud.
Memetik sumber Koreaboo, pemilik nombor telefon itu mendakwa dirinya diganggu oleh peminat Squid Game sejak siri itu ditayangkan di Netflix.
Dilaporkan, pihak produksi melakukan kesilapan dengan membuang tiga digit pertama, bukanya di tengah atau pun dibelakang.
Bagi nombor telefon di Korea Selatan, tiga digit di depan menandakan kod kawasan bagi bandar dan yang paling biasa didengari ialah 010 untuk Seoul. Jadinya, jika anda berada di Seoul, mendail lapan digit tanpa tiga digit depan akan tetap menerima panggilan.
Pemilik nombor telefon yang enggan disebut nama memberitahu portal Money Today bahawa dia berasa tertekan kerana telah mengganggu kehidupan sehariannya.
“Ini nombor yang saya gunakan sejak 10 tahun lalu, jadi ia agak mengejutkan,” ujarnya.
Dia mengatakan sebanyak 4,000 nombor yang diterima siang dan malam terpaksa dipadam daripada log panggilan sehinggakan bateri telefon berkurang dengan cepat.
“Pada awalnya saya tidak tahu mengapa namun rakan saya memberitahu bahawa nombor tersebut muncul dalam ‘Squid Game’.”
Katanya, salah seorang peminat siri itu menghantar mesej mengatakan pada awalnya menyangkakan nombor telefon itu tidak wujud tetapi apabila cuba menghubungi, panggilan dapat disambung.
“Saya sangkakan pihak produksi akan mengambil langkah berjaga-jaga. Saya minta maaf, nombor itu muncul pada episod 1 dan 2. Awak boleh sahkannya pada minit 23:44 dalam episod pertama.”

Mendedahkan maklumat peribadi seseorang seperti nombor telefon adalah dilarang mengikut undang-undang.
Menurut seorang peguam, agak sukar untuk menentukannya kerana ada sebahagian yang melanggar tatacara. Bahkan pihak produksi boleh disaman mahupun dipenjarakan.
Buat masa ini, pihak produksi Siren Pictures dan Netflix masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai hal ini.
Sementara itu, Star News melaporkan wakil Netflix mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang berusaha menyelesaikan isu tersebut.
BACA: Apa Yang Boleh Penonton Jangkakan Dalam Musim Ke-2 ‘Squid Game’?
Sumber: Koreaboo