‘Influencer’ Buat Cabaran Jilat Mangkuk Jamban Kini Positif COVID-19

Jilat Mangkuk Jamban Positif COVID-19
Sumber: Dublin Live

Minggu lalu, tidak pasti siapakah yang mulakan cabaran mengarut ini dengan tanda pagar #coronaviruschallenge. Mereka merakamkan diri dengan menjilat tempat duduk mangkuk jamban tanpa sebarang alas.

Dalam pada penduduk dunia panik dengan wabak COVID-19 yang membadai seluruh dunia, masih ada segelintir golongan yang bersikap acuh tidak acuh dengan penyakit berjangkit ini dengan melakukan tindakan yang menjijikkan demi meraih publisiti.

Kebanyakan yang menyahut cabaran sebegitu ialah influencer dan bangga memuat naik video mereka di aplikasi TikTok.

Bagaimanapun, salah seorang influencer dikhabarkan positif COVID-19 selepas dimasukkan hospital gara-gara membuat cabaran menjilat mangkuk jamban. Influencer yang berusia 21 tahun itu memuat naik video cabaran berkenaan dan beberapa selepas itu disahkan positif COVID-19.

Jilat Mangkuk Jamban Positif COVID-19

Menerusi laman sosial Twitter miliknya, influencer terbabit berkongsi keadaan dirinya di hospital namun dia telah memadam entri berkenaan.

Menurut Piers Morgan on GMB, lelaki berkenaan sedang menerima rawatan. Dia juga adalah personaliti yang sama pernah tular selepas merakamkan dirinya menjilat ais krim di pasar raya dan membiarkannya sebagai sebahagian daripada cabaran dalam media sosial pada tahun lepas.

Pakar kesihatan mengkritik mereka yang menyahut cabaran itu sebagai satu tindakan amat tidak bertanggungjawab.

Bukan barisan hadapan sahaja, netizen juga berang dan jijik dengan perlakuan tidak senonoh influencer. Sebahagian daripada mereka mengatakan ini mungkin karma kerana telah mencabar golongan yang terkena jangkitan virus yang semakin mengganas itu.

Pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman untuk mengelakkan diri anda daripada dijangkiti.

…..

Pelik juga sebenarnya dengan masyarakat kini. Dalam keadaan getir sebegini masih ada yang mencipta cabaran yang tidak masuk akal.

Media sosial hari ini telah memperkenalkan pelbagai cabaran dari serata dunia. Bagaimanapun, cabaran-cabaran yang diperkenalkan itu kebanyakannya lebih menjurus kepada perkara negatif, contohnya seperti cabaran yang dinyatakan tadi.

Kami ada senaraikan antara cabaran mengarut dan bahaya yang pernah tular di media sosial.

BACA: Selain ‘Skullbreaker Challenge’, Ini Antara Cabaran Mengarut Dan Bahaya Yang Pernah Tular

Sumber: Mirror