
Industri Vape Bernilai RM2.27 Bilion Bakal Pupus, 3,000 Usahawan Bumiputera Dijangka Terjejas
Langkah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memperkenalkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) sebagai satu bentuk kawalan perundangan yang melarang aktiviti berkaitan merokok khususnya kepada generasi muda bakal menyebabkan industri vape bakal pupus.
Dalam satu laporan di portal FMT, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) dan Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) memohon agar Kabinet mengkaji semula larangan tersebut.
Ini disebabkan oleh pemain industri vape di negara ini rata-ratanya terdiri daripada usahawan Bumiputera dan dasar itu bakal memberikan kesan buruk dalam jangka masa panjang.
“Nasib industri yang bernilai RM2.27 bilion serta 15,000 pekerja dan 3,000 perniagaan vape di Malaysia akan terjejas sekiranya kerajaan tidak memberikan pertimbangan sewajarnya,” jelas Presiden MRECA Adzwan Ab Manas.
“Selama ini, Malaysia dianggap sebagai satu daripada pengeluar vape yang utama di dunia. Ia juga mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelabur domestik dan asing. Polisi ini akan membantutkan potensi Malaysia sebagai pengeluar produk vape di dunia,” tambahnya lagi.
Presiden MEVTA Mohamad Neezam Talib pula berkata, rokok dan vape adalah dua barang berbeza dan tidak sepatutnya disamakan dalam satu kategori sama dalam larangan itu.
“Sebaliknya, produk vape adalah alternatif yang kurang risiko kepada perokok dan mampu membantu perokok tegar berhenti merokok. Kerajaan seharusnya melihat vape sebagai satu kaedah untuk mengurangkan jumlah perokok negara.
“Ini kerana, ia terbukti berkesan di negara lain. Polisi ini memberikan mesej yang salah kerana ia menyamakan rokok dan vape sebagai produk yang mempunyai risiko yang sama,” tegas Mohamad Neezam.
Menurut MRECA dan MEVTA lagi, kerajaan seharusnya mewujudkan peraturan kawal selia bagi mengawal industri vape yang setelah sekian lama tertangguh dan mengambil pendekatan untuk mengawal industri itu dengan peraturan berbeza dengan rokok.
BACA: ‘Murah Dan Senang Didapati’ – Penggunaan Vape Menjadi Normalisasi Dalam Kalangan Pelajar Sekolah?
Sumber: FMT
Trending now



