
Indonesia Tukar Tarikh Cuti Hari Raya Aidilfitri Ke Penghujung Tahun Ini
Indonesia memutuskan untuk membawa cuti umum Aidilfitri ke penghujung tahun ini berikutan ancaman COVID-19 yang memuncak sekarang dan dikhuatiri mengakibatkan lebih ramai dijangkiti.
Puasa kali ini dijangka bermula 23 April hingga 23 Mei ini dan menjadi tradisi rakyat Indonesia yang bekerja di bandar besar untuk kembali ke kampung sempena cuti panjang pada penghujung Ramadan untuk meraikan Aidilfitri.
Pemerintah Indonesia menganggarkan, seramai 20 juta rakyatnya akan terlibat dalam acara tahunan dengan sejumlah kecil daripada sudah meninggalkan beberapa kota besar dan pulang ke kampung halaman sekalipun ditegah daripada berbuat demikian daripada pihak berkuasa kesihatan.
Berikutan penularan wabak dan musim perayaan, Menteri Pembangunan dan Kebudayaan Manusia, Muhadjir Effendy, berkata cuti umum dipinda ke Disember iaitu dari 28 hingga 31 Disember berbanding cuti asal pada 26 hingga 29 Mei ini.
“Pindaan cuti ini adalah arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan tiada rayuan untuk mengembalikan pada tarikh asal,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Presiden Jokowi berkata kerajaan sedang mempertimbangkan tarikh cuti umum baharu sempena Aidilfitri berikutan pandemik COVID-19 yang memuncak sekarang. Indonesia juga mengumumkan cuti umum pada 28 Oktober ini sempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, turut menasihatkan orang ramai tidak mengambil bahagian dalam ‘mudik’ atau tradisi balik kampung itu.
Bagaimanapun, kerajaan tidak melarang mudik disebabkan pertimbangan ekonomi, sebaliknya akan memberi bantuan sosial kepada keluarga berpendapatan rendah.
Jakarta, yang menjadi pusat penularan wabak, merekodkan 1,706 kes dengan 142 kematian dan 82 lagi sudah pulih. Setakat ini, Indonesia hanya mengisytiharkan darurat namun enggan menguatkuasakan perintah berkurung.
Bagi Indonesia alasan tidak menerapkan perintah berkurung mahu pun lockdown adalah kerana merasakan langkah tersebut tidak efektif dalam memerangi penularan COVID-19.
Mereka menganggap perintah berkurung hanya menimbulkan kesan baharu, contohnya seperti India yang semakin kacau bilau selepas penguatkuasaan perintah berkenaan dilakukan.
Bagi Jokowi, displin isolasi adalah yang paling penting diamalkan. Dengan tidak mengadakan perintah berkurung, daya beli masyarakat masih terjaga seterusnya membawa kepada berjalannya ekonomi negara.
Sumber: BH