Gangguan Seksual Di Indonesia 2

Indonesia: Mangsa Gangguan Seksual Dihukum Penjara, Pemangsa Dibebaskan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Di Indonesia, pengadu gangguan seksual boleh dikenakan hukuman penjara. Tidak percaya dan tidak adil bukan? Tetapi inilah yang berlaku di sana.

Kes terbaharu yang mendapat liputan luas media dalam dan luar negara adalah mengenai seorang wanita, Baiq Nuril Maknun terpaksa berdepan dengan hukuman penjara enam bulan selepas merakam panggilan telefon daripada majikannya yang mengajak beliau melakukan hubungan seks.

Ibu kepada tiga orang anak yang bekerja sebagai seorang penyimpan kira-kira (bookkeeper) telah menerima panggilan telefon daripada guru besar yang juga majikannya yang memberitahu secara terperinci bagaimana proses terlarang itu mahu dilakukannya.

Jijik dengan perkara yang sudah berlarutan sejak dari tahun 2012 dengan bilangan kejadian sebanyak 50 kali, Nuril telah merekod satu panggilan sebagai bukti perlakuan gangguan seksual yang beliau terima daripada pemangsa.

Gangguan Seksual Di Indonesia 1

Setelah melaporkan pada 2017, Nuril terpaksa menghabiskan masa dua bulan di penjara dan dibuktikan tidak bersalah. Namun pihak pendakwa telah merayu kepada Mahkamah Tinggi Indonesia pada 2018 bahawa perbuatan merakam panggilan tersebut telah melanggar Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE).

Awal bulan Julai, Nuril  kalah pada rayuan terakhir dan Mahkamah Agung memutuskan beliau untuk dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sehingga 500 juta rupiah (RM147,281.10).

Manakala, pemangsa beliau dibebaskan malah turut menerima kenaikan pangkat. Semasa ditanya oleh CNN, beliau hanya menjawab, “saya serahkan kepada Tuhan untuk menyelesaikannya.”

Hanya bergantung kepada pendapatannya sebanyak RM308.36 sebulan, Nuril pernah terniat untuk membunuh diri agar masalahnya selesai namun memikirkan ianya adalah perbuatan dilarang agama, beliau meneruskan hidup bersama anak-anaknya.

Gangguan Seksual Di Indonesia

Menyeru Presiden Joko Widodo untuk menegakkan keadilan dan pengampunan kepadanya, satu petisyen telah dilancarkan dengan jumlah tandatangan kini sudah melebihi 300,000 orang.

Disebabkan kes ini sudah menjadi tular dan menjadi perhatian ramai, Nuril tidak dimasukkan ke penjara serta merta untuk menjalani hukuman. Kini, Nuril dan pasukan undang-undangnya sedang berada di Jakarta bagi menguruskan proses penghantaran surat rasmi kepada Presiden untuk permohonan pengampunan.

Memberikan respon kepada isu tersebut, Presiden Joko menjelaskan bahawa beliau akan menyelesaikan isu ini secepat yang mungkin dan sudah menghantar surat sokongan kepada Rumah Perwakilan Indonesia yang mana mereka akan mengkaji semula permohonan pengampunan Nuril.

Melihat kepada isu ini, sebenarnya ia bukanlah kali pertama berlaku di Indonesia. Suruhanjaya Kebangsaan (Komnas Perempuan) mendapati bahawa sebanyak 260,000 kes keganasan seksual termasuklah gangguan pada 2018 yang dilaporkan, manakala yang tidak terlapor berkemungkinan lima kali ganda lebih banyak daripada jumlah tersebut.

Kementerian Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia mendapati pada 2017, lebih 41% wanita Indonesia mengalami satu daripada empat jenis keganasan sama ada daripada segi fizikal, seksual, emosi atau ekonomi seumur hidup mereka.

Tidak percaya dengan sistem undang-undang, ramai wanita Indonesia yang diserang secara seksual tidak berani untuk melaporkan kerana peratusan kemenangan untuk berpihak kepada mereka adalah tipis.

Sumber: CNN