
Indonesia Humban Rakyat Yang Ingkar Perintah PKP Di Rumah Hantu
Bagi mengekang penularan wabak COVID-19, setiap negara mempunyai cara tersendiri mengenakan hukuman kepada rakyatnya yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sikap orang ramai yang melanggar perintah kuarantin, menyebabkan seorang ahli politik di Indonesia menggunakan cara menakutkan dengan mengunci mereka dalam rumah hantu.
Ketua daerah Sragen, Kusdinar Untung Yuni Sukowati berkata beliau mengeluarkan arahan luar biasa itu pada minggu ini bagi menangani jumlah tinggi orang ramai yang memasuki daerah itu menyusuli sekatan pergerakan di ibu kota Jakarta dan bandar-bandar utama lain.
Beberapa pendatang baharu bagaimanapun, tidak mematuhi arahan untuk mengasingkan diri selama 14 hari bagi mencegah penularan COVID-19 di kepulauan Jawa Indonesia yang padat dengan penduduk.
Kusdinar Untung Yuni Sukowati berkata kepada Detik News, pihaknya meminta Ketua Kampung Miri, Sragen, membersihkan rumah berhantu di tengah sawah sebagai tempat kuarantin bagi penduduk yang keras kepala.
Tindakan pihak berkuasa itu sebagai pengajaran buat mereka yang ingkar PKP di samping kepercayaan pada alam ghaib mempunyai peranan penting dalam cerita-cerita rakyat Indonesia.
Setakat ini, lima orang dimasukkan ke penjara Sragen yang dianggap berhantu itu.

“Jika ada rumah berhantu yang terbiar dalam kampung, humbankan mereka ke dalam dan kunci mereka dalam rumah itu,” kata Sukowati kepada AFP pada Selasa apabila ditanya mengenai peraturan itu.
Terdahulu, penduduk di Jakarta menggunakan kaedah unik bagi memastikan pergerakan orang awam dapat dikawal. Golongan belia di kampung Kesongo di Kepuh, Sukoharjo terletak di Jawa Tengah berpakaian seperti pocong di pintu masuk kampung itu.
Tujuan mereka ‘meletakkan’ pocong bukanlah untuk menakutkan penduduk tetapi sebagai peringatan bahawa wabak Covid-19 boleh membawa maut. Menurut mereka, ia umpama terapi mengejutkan kerana manusia biasanya (beri lebih perhatian) untuk perkara berkaitan kematian.
Sejak itu, tiada penduduk yang keluar pada waktu malam dan kaedah itu sememangnya berkesan untuk menakutkan manusia yang melanggar perintah.
Sehingga kini, Indonesia melaporkan 375 lagi kes positif COVID-19 (21 April) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 7,135 kes di negara itu. Manakala 842 orang sudah pulih dengan angka kematian sebanyak 616 kes.
Sumber: Mediacorp