Indonesia Bakal Mencatatkan 700,000 Kes COVID-19 Pada April

indonesia covid-19

Indonesia dijangka bakal mencatatkan pertambahan jumlah kes positif COVID-19 antara 600,000 hingga 700,000 orang menjelang akhir April ini, menurut jurucakap kerajaannya, Achmad Yurianto.

Menurut kenyataan beliau yang dipetik dalam Jakarta Globe, ketika ini Indonesia melihat peningkatan kes seramai 1,046 orang, dan pertambahan sembilan kematian menjadikan jumlah keseluruhan terkini sebanyak 87 orang. Sumber ini diambil daripada worldodometer.

Atas sebab itu kerajaan Indonesia sedang menyediakan satu juta kit ujian bagi pemeriksaan berskala besar untuk mengenal pasti kes positif COVID-19 dikalangan rakyatnya.

Achmad berkata, ujian berskala besar itu akan berlandaskan kepada analisa risiko, yang membawa maksud, mereka yang langsung tidak terdedah kepada wabak berkenaan tidak dibenarkan mengambilnya.

Keutamaan akan diberi kepada mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit positif COVID-19, jelasnya lagi. Apabila seseorang itu positif COVID-19, kerajaan Indonesia akan sedaya upaya mengesan sesiapa sahaja yang mempunyai kontak dengan pesakit itu sepanjang tempoh 14 hari sebelumnya.

Jika pesakit itu tinggal di rumah, kesemua ahli keluarga mereka akan diarahkan mengambil ujian. Jika berada di pejabat, kesemua orang di pejabat itu akan melalui proses yang sama.

indonesia covid-19

Ujian itu, jelas Achmad, akan menggunakan sampel darah untuk memastikan keputusan yang lebih cepat. Jika ada indikasi jangkitan, ujian ‘swab’ akan dilakukan untuk keputusan yang lebih tepat.

Terdahulu, ketika Malaysia menutup semua masjid dan kawasan yang berpotensi untuk orang ramai berhimpun dalam kelompok yang besar, masjid di Indonesia masih lagi dibuka untuk orang ramai menunaikan solat.

Walaupun arahan supaya tidak menghadiri perhimpunan agama termasuk mendirikan solat berjemaah dan hanya bersembahyang di rumah, Jumaat lalu masih ramai yang hadir untuk berjemaah menunaikan solat Jumaat di masjid.

Mengaplikasikan jarak sosial dalam ibadah tersebut,  kebanyakan daripada jemaah masjid di Indonesia rata-ratanya apabila ditanya mengapa masih hadir ke ‘perhimpunan’ ini memberi jawapan bahawa mereka percaya Allah akan melindungi umatnya yang taat kepada perintah-NYA.

Meskipun bimbang dengan penularan, mereka percaya pada pihak pengurusan masjid yang sudah melakukan pembersihan rapi serta menyediakan sabun untuk kegunaan jemaah.

Sumber: AWANI