
Individu Langgar SOP Dihukum Renung Kubur Mangsa COVID-19
Individu langgar SOP dikenakan hukuman renung kubur mangsa COVID-19.
Selagi dunia masih lagi belum bebas daripada wabak pandemik COVID-19, selagi itulah kita penduduk dunia perlu menjalankan tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard kesihatan seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
BACA: Lihat Jangkaan Tarikh Jangkitan Wabak COVID-19 Bakal Berakhir Di Negara Dunia
Di Indonesia sahaja, bilangan kes semakin meningkat dari sehari ke hari sehingga menjadikan Indonesia negara ke-23 di dunia yang memiliki bilangan kes tertinggi dan di kawasan Asia di tangga ke-9.
Biarpun begitu di sana, masih ramai yang ingkar dengan arahan kerajaan supaya patuh dengan protokol kesihatan yang ditetapkan.
Akibat daripada itu, pihak berkuasa Jakarta terpaksa menetapkan hukuman luar biasa agar pesalah insaf daripada terus melakukan kesalahan iaitu dengan merenung kubur mangsa korban COVID-19.

Hukuman yang dijalankan antara jam 11.30 malam hingga 12.15 tengah malam ini berlangsung di kawasan perkuburan Praloto di Jalan Lingkar Timur Sidoarjo-Jawa Timur.
Pesalah akan diminta berdoa untuk mangsa COVID-19 yang terkorban dengan duduk di sebelah kubur dalam keadaan diterangi lampu sebelum lampu dipadamkan.
Menurut Ketua Polis Sidoarjo, Pesuruhjaya Sumardji berkata, ianya adalah sebagai salah satu pengajaran kepada pesalah untuk memakai topeng penutup muka ketika pandemik COVID-19.

Di kawasan lain di Indonesia, antara hukuman lain yang dikenakan kepada individu langgar SOP adalah hukuman penjara di rumah hantu dan membersihkan kawasan pasar selama satu jam.
BACA: Indonesia Humban Rakyat Yang Ingkar Perintah PKP Di Rumah Hantu
Setakat pagi ini, kes COVID-19 yang dicatatkan di seluruh dunia sudah pun melebihi 27.48 juta dengan angka korban dan sembuh masing-masing sebanyak 896,844 dan 19.58 juta.