Penginapan Qatar

Indah Khabar Dari Rupa, Kabin Penginapan Peminat Bola Sepak Di Qatar Teruk Kena Kecam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ramai peminat bola sepak yang menginap di kawasan penginapan yang disediakan sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.

Ini berikutan kawasan perkampungan sukan di Rawdat Al Jahhaniya yang berupaya menempatkan lebih 60,000 peminat bola sepak dari seluruh dunia tersebut dilaporkan hanya indah khabar dari rupa.

Walaupun terletak berhampiran dengan Stadium Ahmad Bin Ali, kawasan tapak yang menyediakan kabin penginapan tersebut didapati masih lagi dipenuhi dengan mesin industri dan longgokan sampah serta kotak.

Dibuka sejak Jumaat minggu lalu, harga bayaran sewa yang dikenakan adalah sekitar 170 pound (RM918) semalam dan ianya dilihat sebagai sangat tidak berpatutan.

Kampung itu juga sepatutnya dilengkapi dengan skrin pawagam dan gelanggang tenis namun peminat mengadu kemudahan tersebut tidak disediakan.

Pusat kecergasan yang dijanjikan pula hanya melibatkan beberapa peralatan senaman luar sahaja.

“Bilik air juga terlalu kecil sehingga anda sukar bergerak, jika tersilap anda mungkin terjatuh di atas meja kecil atau tertendang katil,” jelas Milad Mahmooditar, 32, dari Teheran.

Menurut Milad lagi, kabin yang disediakan juga terlalu sempit untuk memuatkan pengunjung yang berketinggian melebihi 1.70 meter seperti dirinya.

“Unit penghawa dinginnya pula terpaksa meredah haba yang tinggi di dalam kabin ini dan mengeluarkan bunyi bising sehinggakan anda tidak boleh tidur,” tambahnya lagi.

Hampir 1.5 juta peminat bola sepak dari seluruh dunia kini membanjiri Qatar untuk menyaksikan kejohanan Piala Dunia FIFA 2022.

Tempat penginapan agak sukar diperolehi kerana hanya 130,000 bilik sahaja yang dapat diperuntukkan sepanjang temasya berlangsung.

Penginapan Qatar

BACA: Firma Singapura Urus Keselamatan Di Qatar, Elak Tragedi Itaewon & Kanjuruhan Berulang

Sumber: Utusan Malaysia