
Indah Dan Mudah Dipelajari, Bahasa Melayu Banyak Digunakan Di Bumi Mekah & Madinah
Lazimnya, kita akan melakukan persediaan mempelajari sesuatu bahasa negara yang kita hendak melawat walaupun sekadar kemahiran asas dan bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi utama di mana-mana.
Namun, lain pula yang berlaku jika kita berada di Bumi Mekah dan Madinah apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua dalam percakapan dalam kalangan para peniaga.
Persepsi awal kebanyakan kita akan menganggap bahasa Arab dan Inggeris akan menjadi bahasa berkomunikasi utama di Tanah Suci.
Pengalaman ini dikongsikan oleh seorang Tokoh Bahasa dan Kebudayaan Melayu Nusantara, Prof. Datuk Dr. Aripin Said ketika beliau sedang mengerjakan umrah pada 6 Mac lalu.
penggunaan bahasa Melayu secara berleluasa di kota suci tersebut dianggap aneh baginya tetapi membanggakan
“Berasa aneh Bahasa Melayu digunakan secara meluas di kota suci tetapi dalam masa yang sama tetap merasa bangga,” katanya.
Penggunaan bahasa Melayu itu digunakan oleh peniaga dan toko besar pelbagai produk seperti permaidani, jubah, tasbih, buah-buahan dan sebagainya.
Bahasa Melayu indah dan mudah dipelajari
Berkongsi pengalaman ketika berbual dengan peniaga Arab di sana, peniaga mengakui bahasa Melayu begitu indah dan mudah dipelajari sesuai dengan lidah semua bangsa.
Tambah peniaga, tetamu Allah SWT yang datang dari Malaysia dan nusantara berbahasa Melayu pada musim haji dan ibadah umrah merupakan sumber rezeki penduduk dan pengusaha hotel di situ.
Menurutnya, bahasa Melayu turut digunakan oleh pengusaha hotel di bahagian hadapan dan peniaga kanak-kanak juga fasih berbahasa tersebut untuk melariskan perniagaan.
Lebih menarik, peniaga di Mekah dan Madinah sanggup belajar bahasa Melayu selepas urusan tawar-menawar dalam perniagaan menjadi lebih mudah.
Peniaga Arab juga mengakui perniagaan jubah, tasbih dan lain-lain di bumi anbiya itu lebih laris apabila berbahasa Melayu kerana ramai yang memahami bahasa dunia ini.
Dalam pada itu, Prof. Datuk Dr. Aripin Said yang juga bergelar Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, menasihatkan masyarakat Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa Melayu untuk menguasai sepenuhnya bahasa kebangsaan ini.
Untuk makluman, Bahasa Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.
Pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.
BACA: Papan Tanda Di Korea Selatan Sudah Mula Sokong Penggunaan Bahasa Melayu
Sumber: Utusan Malaysia