
Imbas Kembali Peristiwa Banjir Besar Tahun 1971 Yang Melanda Kuala Lumpur
Hujan lebat lebih dua jam bermula jam 2 petang semalam telah mengakibatkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.
Antara kawasan terjejas termasuk Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5 dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak yang dinaiki air antara 1 dan 1.5 meter.
Terdapat jalan utama yang dinaiki air menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan. Setakat ini, seramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir telah diselamatkan bomba.
Beberapa gambar tular di media sosial telah menarik perhatian netizen yang menganggap banjir kilat terjadi akibat sistem banjir Terowong SMART lambat diaktifkan.
Menelusuri perihal banjir, Kuala Lumpur pernah ‘lumpuh’ akibat bencana alam ini yang telah menyebabkan 180,000 mangsa terjejas dan 32 orang meninggal dunia, seterusnya mengakibatkan perintah darurat bencana diisytiharkan.
Peristiwa banjir besar ini yang melanda Kuala Lumpur berlaku pada awal tahun 1971. Tragedi ini juga turut mengakibatkan seluruh Semenanjung Malaysia hampir terjejas disebabkan hujan lebat yang tidak berhenti hampir satu minggu.
Kota Kuala Lumpur ketika itu tenggelam hampir 50 peratus sehingga Perdana Menteri Tun Razak mengisytiharkan darurat dan menubuhkan jawatankuasa peringkat kabinet dalam menangani masalah itu.
Kejadian ini telah mencatatkan kerugian sebanyak RM87.4 juta, namun bagi kebanyakan masyarakat ketika itu mengatakan bahawa banjir besar itu ‘membersihkan segala kekotoran’.
Banjir ini turut meninggalkan kesan-kesan kerosakan yang paling teruk, ramai kehilangan tempat tinggal dan harta benda dan terpaksa tinggal sehelai sepinggang, setelah semua harta benda dihanyutkan oleh banjir.
Kejadian Bah Besar pernah berlaku pada 1931, 1947, 1954, 1957, 1967 dan 1971 manakala banjir yang hanya melibatkan negeri-negeri tertentu pula terjadi pada 1973, 1979, 1983 dan 2004.
Jika bertanya pada orang lama, banjir besar pada waktu itu cepat turun kerana belum banyak taman perumahan, bangunan seperti sekarang.
Mengenai banjir terkini yang melanda Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa akan mengkaji punca sebenar kejadian itu yang disifatkan berlaku agak pantas.
Sumber: Awani, The Patriots
BACA: Lelaki Ini Berjaya Cipta Bot Melalui Video YouTube Untuk Kegunaan Redah Banjir