
Iklan Vape Guna Kanak-Kanak Dan Remaja Di Media Sosial Undang Kecaman Orang Ramai
Aktiviti penjualan vape dalam talian kini dilihat semakin rancak dan dibiarkan bebas tanpa sebarang kawalan.
Terbaharu, wartawan Nurfazleen Safina Abd Jamil dari Majoriti melaporkan, iklan yang memaparkan kanak-kanak dan remaja bawah umur yang mempromosikan vape di media sosial juga kini didapati semakin menjadi-jadi.
Menurutnya, ada di kalangan remaja terbabit juga dilihat memakai tudung, sekali gus mencemarkan lagi kesucian agama Islam.
Dr Arisman Wenge Abd Rahman di Facebooknya berkata, perbuatan seperti itu bukanlah boleh dianggap sebagai satu jenaka, sebaliknya merupakan satu jenayah.
Beliau turut meminta pemimpin di negara ini memandang serius perkara tersebut kerana ianya boleh memudaratkan kesihatan mental dan fizikal.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad ketika mengulas isu ini pula menganggap tindakan menjadikan kanak-kanak atau remaja bawah umur sebagai model vape merupakan satu eksploitasi dan amat tidak wajar.
Tindakan tersebut bukan sahaja memberi imej yang tidak baik, malah turut memberi kesan kepada ekosistem hidup kanak-kanak tersebut termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat sekeliling.
“Kalau di Malaysia, hisap rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak memang salah.
“Tapi kalau kanak-kanak atau remaja itu boleh uruskan segalanya dan tak beri kesan kepada kesihatan mental maka ia akan menjadi okey.
“Namun, memang salah kalau keluarga yang mengeksploitasi kanak-kanak tersebut untuk memberi kebaikan kepada mereka,” jelas Dr Fauziah.
Turut tampil mengulas isu ini ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang berpendapat siaran iklan yang sepatutnya diurus tadbir oleh pemilik media ketika ini seolah-olah tiada kawalan.
Beliau berharap agar wujudnya garis panduan yang jelas buat peniaga di mana-mana platform, termasuk di media sosial dan media cetak bagi menyiarkan sebarang iklan.
“Kita juga berharap agar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menguruskan garis panduan yang jelas tentang iklan yang disiarkan,” ujar Datuk Nadzim.
BACA: Vape Pelbagai Bentuk Dan Perisa Untuk Kanak-Kanak Sekolah Cetus Kebimbangan Ibu Bapa
Sumber: Majoriti
Trending now



