Langsir IKEA Tapis Udara Dalam Rumah

IKEA Jual Langsir Yang Mampu Bersihkan Udara Kotor Dalam Rumah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pelbagai cara dilakukan untuk mengelak jangkitan seperti pemakaian topeng mulut dan hidung sehinggalah penggunaan produk pembersih udara di rumah lebih-lebih lagi dengan keadaan dunia sekarang ini yang mengalami wabak koronavirus (Covid-19).

Satu masalah menggunakan alat pembersih udara adalah menggunakan sumber tenaga elektrik dan terhad sudut tertentu sahaja. Namun, bagaimana pula jika boleh menggunakan alat pembersih udara di sekeliling rumah?

Inilah yang dilakukan pihak IKEA dengan menghasilkan langsir yang berupaya membersihkan udara di kediaman anda.

Produk langsir yang diberi nama Gunrid, diciptaan oleh pereka dari firma perabot antarabangsa terkenal di Sweden, Mauricio Affonso dengan sekumpulan pembangun produk, saintis dan jurutera.

“Ramai orang tahu bahawa pencemaran udara luaran boleh menjadi masalah, tetapi tidak ramai yang sedar udara dalam rumah juga mungkin seteruk atau lebih teruk daripada udara di luar,” kata beliau.

Lebih menarik lagi, langsir yang ditawarkan ini berukuran 145 sentimeter lebar dan 250 sentimeter panjang dengan berat hanya 920 gram itu tidak menggunakan sebarang sumber tenaga elektrik atau sistem penapisan yang rumit.

Menurut IKEA, permukaan kain langsir disalut dengan larutan mineral yang tipis dengan menggunakan proses yang mirip kepada fotosintesis.

Ia memusnahkan partikel pencemar seperti bau tidak enak, bahan kimia formaldehid dan asetaldehid, sekali gus dengan cara itu mampu membersihkan serta menyegarkan udara sekeliling.

Langsir IKEA Tapis Udara Dalam Rumah

Langsir ini sudah dijual di semua 21 gedung IKEA di Britain pada harga £25 (kira-kira RM134) dan bakal didapati mulai April depan di IKEA Singapura dalam tiga warna pada harga S$49.90 (RM150).

Sumber: Berita Mediacorp