IKEA Sumber Kayu Haram

IKEA Didakwa Peroleh Sumber Kayu Secara Haram

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sebilangan perabot kayu terlaris dari gudang perabot IKEA didakwa memperoleh bekalan sumber kayu secaram haram di hutan Ukraine, menurut pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Earthsight.

Walaupun kayu tersebut disahkan sebagai kayu lestari oleh Forest Stewardship Council (FSC), siasatan Earthsight mendakwa ia diambil secara haram dari Ukraine sementara pihak berkuasa dan penguatkuasa FSC dilaporkan ‘menutup mata’.

Earthsight mengeluarkan kenyataan yang mendakwa sebilangan perabot syarikat Sweden itu dihasilkan daripada aktiviti pembalakan haram di pergunungan Carpathian yang menjadi habitat kucing liar spesies lynx dan beruang coklat yang terancam.

IKEA Sumber Kayu Haram

Pertubuhan NGO itu berkata, pemeriksa persekutuan di Ukraine mendapati bahawa perniagaan perhutanan negara Velyky Bychkiv telah membenarkan syarikat pembekal kayu IKEA yang dikenali sebagai VGSM, untuk memotong pokok ketika di dalam tempoh aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di kawasan pergunungan tersebut iaitu sekitar 2018 hingga tahun ini.

Bagaimanapun, IKEA menegaskan bahawa akan mengkaji semula rantaian bekalan kayu tersebut.

Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan syarikat tersebut berkata, syarikat itu tidak menerima kayu yang dilog masuk secara haram dalam produknya.

“Kami akui pembalakan haram masih menjadi isu global yang meluas. Oleh itu, pihak kami akan mengambil langkah proaktif untuk mengesahkan pembekal kami mematuhi undang-undang,” katanya.

Selain itu, syarikat terbabit berkata, bekalan kayu dari Ukraine merangkumi kurang satu peratus daripada sumber produknya di seluruh dunia.

Pada tahun 2019, IKEA menggunakan sekitar 21 juta meter padu kayu bulat iaitu hampir satu peratus daripada pengeluaran kayu industri di dunia.

Sumber: Reuters