Polis PJ Bantu Ibu Curi Makanan Dan Ubat

Ibu Ditahan Curi Makanan Dan Ubat, Tindakan Ketua Polis PJ Ini Tarik Perhatian Netizen

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan kita yang terkesan dengan serangan pandemik COVID-19 sehinggakan ada yang kehilangan pekerjaan.

Masing-masing mencari jalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan dan saling tolong-menolong untuk memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Namun, ada kalanya kita mendengar berita tidak enak seperti mencuri kerana tekanan kehidupan yang mungkin itulah jalan penyelesaian yang mampu dilakukan demi sesuap nasi untuk keluarga.

Tular kisah seorang ibu ditahan pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya kerana mencuri barangan dan ubat-ubatan.

Menurut sumber, barang-barang ditemui bersama wanita terbabit adalah penampal penyejuk suhu badan (kool Fever) untuk anaknya yang sedang demam dan kek pandan serta sosej.

Kisah itu mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal untuk turun padang bertemu dengan ibu tersebut.

Polis PJ Bantu Ibu Curi Makanan Dan Ubat
Sumber: Facebook

Saya berasa terpanggil untuk berjumpa dengan suri rumah ini yang tinggal di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Petaling Jaya.

“Saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia tidak akan buat perkara-perkara tersebut.

“Kalau kita lapar kita boleh tahan, tapi kalau anak-anak kita yang lapar, itu perkara yang tak boleh kita terima.

“Jadi saya sediakan sedikit bantuan makanan bekalan harian. Terdapat beras dan sebuah kotak berisi bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ‘Cool Fever’ juga untuk anak wanita ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga sempat berpesan kepada wanita berkenaan sekiranya mengalami sebarang kesusahan di masa depan agar terus cekal dalam menghadapi cabaran meneruskan kehidupan sepanjang tempoh pandemik.

Polis PJ Bantu Ibu Curi Makanan Dan Ubat

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa terharu akan keprihatinan yang ditunjukkan YDH Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Sikap yang ditonjolkan KPD Nik Ezanee ini cukup disenangi para netizen dan wajar dijadikan teladan untuk warga Polis DiRaja Malaysia dalam menghulurkan bantuan.

Difahamkan, kes wanita itu telah diklasifikasikan sebagai NFA atau tiada tindakan lanjut.

Sebelum ini, KPD Nik Ezanee pernah tular atas keprihatinan beliau menyumbang sebuah telefon pintar kepada seorang remaja lelaki yang kehilangan telefon pintar akibat dicuri ketika bekerja sambilan menjual burger di Kota Damansara.

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya