
Ibu Bapa Dikecam Perguna Anak Usia Tiga Tahun Buat Video Mukbang Demi Duit
Perguna Anak Usia Tiga Tahun Buat Video Mukbang Demi Duit.
Sepasang suami isteri di China menerima kecaman hebat netizen kerana didakwa memaksa anak perempuan mereka yang berumur tiga tahun makan dalam kuantiti amat banyak.
Malah, dia menyiarkan video itu secara langsung menerusi satu platform penstriman. The Sun melaporkan menerusi video yang tular, budak perempuan bernama Pei Qi itu kelihatan disuap dengan ayam goreng, burger dan makanan lain-lain.
Netizen menyifatkan perbuatan suami isteri itu keterlaluan kerana bukan hanya menggalakkan pengambilan makanan tidak sihat tetapi seolah-olah satu penderaan untuk kanak-kanak bawah umur.
Namun, ibu bapa kanak-kanak itu menafikan tuduhan berkenaan, sebaliknya mendakwa anak mereka mempunyai selera makan yang luar biasa.
Bukan itu sahaja, mereka mendakwa hanya memberi makanan yang menyihatkan untuk kanak-kanak itu.
“Video itu tidak hanya memaparkan keletahnya menikmati makanan tetapi aksi menari dan usahanya menurunkan berat badan.
“Lagipun, dia anak saya… jadi saya perlu memberinya makan sebanyak itu kerana dia memang sudah besar.
“Tiada sebab untuk saya dan suami mengambil kesempatan kerana kami ada pekerjaan serta tiada masalah kewangan.
“Namun, kami hanya merakam video menunjukkan dia membesar,” katanya.
Difahamkan, ibu Pei Qi memuat naik video anaknya sejak 2018 di platform Xigua Video.
“Memang ada keuntungan daripadanya tetapi ia mungkin hanya ratusan yuan sahaja,” kata ibu Pei Qi dikenali sebagai Tan.
Video menunjukkan Pei Qi duduk di depan kamera sambil menjamah makanan yang disediakan dalam kuantiti besar, ‘Mukbang’ fenomena popular di internet berasal dari Korea Selatan.
Banyak video Pei Qi yang dikatakan sangat popular termasuk salah satunya yang meraih 550,000 tontonan.
Menurut Tan, Pei Qi dilahirkan dengan berat 4.5 kilogram (kg) tetapi berat badannya mudah naik dan mendedahkan anaknya lebih cenderung makan serta tidak aktif.
Media tempatan melaporkan, Pei QI kini mempunyai berat 35 kg iaitu lebih daripada kanak-kanak seusianya berpunca daripada tabiat makannya.
Pernah dalam video di mana Pei Qi meminta ibu bapanya berhenti menyuapnya, tetapi permintaannya tidak diendahkan. Sebaik sahaja makanan dalam pinggannya habis, mereka terus menambahnya lagi.
Ramai yang mengesyaki ibu bapa Pei Qi mempergunakan anak mereka untuk menjana pendapatan.
Susulan isu itu, akaun Pei Qi ditutup selepas menerima banyak aduan daripada penonton. Rata-ratanya mengemukakan aduan kerana menganggap perbuatan ibu bapanya adalah satu penderaan.
Meskipun penafian telah dibuat, tampil satu organisasi rasmi yang melindungi hak dan kebajikan wanita dan kanak-kanak membuat siasatan terhadap isu itu.
Pihak berkuasa China mengesahkan, keluarga berkenaan menetap di Guangzhou, selatan China dan kes itu juga disiasat pihak berkuasa tempatan.
Sumber: Daily Mail