Hutan Bunuh Diri Aokigahara

Hutan Aokigahara, ‘Hentian Terakhir’ Sebahagian Masyarakat Jepun

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Hutan Aokigahara, ‘Hentian Terakhir’ Sebahagian Masyarakat Jepun.

Bagi segelintir orang, hutan adalah tempat cukup menenangkan tetapi bagi sebahagian yang lain, ia boleh menjadi sesuatu yang menakutkan terutama apabila dikaitkan dengan tempat penginapan makhluk halus.

Di barat laut kaki Gunung Fuji, terbentang panorama seakan lautan hijau meliputi 30 kilometer persegi. Pemandangan dari atas ini yang memberikan hutan Aokigahara nama samarannya – Jukai, yang bererti ‘Lautan Pokok’.

Namun begitu, kisah hutan ini melangkaui populariti gunung yang menjadi simbol kebanggaan negara Matahari Terbit itu. Apabila mengetahui kisah disebalik hutan ini, pasti terasa meremang.

Masakan tidak, hutan yang ditumbuhi dengan pelbagai pokok unik menjadi tempat orang yang murung atau bermasalah membunuh diri.

Kenapa begitu ramai orang Jepun memilih untuk bunuh diri di dalam hutan ini?

Hutan Bunuh Diri Aokigahara

Memetik sumber #CatatanZunitaDiJepun oleh Zunita Ramli, Jepun sejak beratus tahun dulu telah mengamalkan sesuatu yang dipanggil seppuku atau juga dikenali sebagai harakiri.

Ia adalah hukuman untuk samurai yang buat kesalahan berat, yang mana harakiri perlu dilakukan dengan cara merobek perut sendiri (bunuh diri) untuk mengembalikan maruah keluarga.

Walaupun seppuku sudah diharamkan, tapi ia sudah sebati dalam jiwa orang Jepun. Sebab itu kalau kita tengok masa Perang Dunia Kedua, ramai orang Jepun sanggup buat Kamikaze demi memperjuangkan negara Jepun.

Jadi, tak hairanlah kalau masa sekarang, ramai orang Jepun pilih untuk mengambil nyawa sendiri untuk ‘keluar’ daripada masalah mereka.

Orang Jepun percaya konsep 6 dunia

Hutan Bunuh Diri Aokigahara

Selain itu, menurut Zunita, terdapat rakyat Jepun yang mempercayai konsep 6 dunia yang mana ia turut mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan bunuh diri yang berlaku di Jepun.

Dalam kepercayaan konsep 6 dunia ini, individu (roh) berlegar-legar dalam 6 dunia ini yang mana mereka percaya pada proses kelahiran semula (reincarnation).

Jadi, apabila seseorang individu itu sudah berputus asa dengan kehidupan sekarang, bunuh diri adalah solusi paling mudah untuk mendapat kelahiran semula, bagi mulakan hidup yang baharu.

Selain itu, terlalu mahukan kesempurnaan juga mungkin salah satu sebab mereka kecewa dan membunuh diri. Kebanyakan orang Jepun bukan bunuh diri kerana gagal, tetapi kecewa tidak capai tahap kesempurnaan yang diinginkan.

Mereka juga meletakkan target terlalu tinggi sehingga sukar untuk dicapai menjuruskan diri ke alam depresi dan akhirnya, mengambil nyawa sendiri.

Kerana budaya mereka inilah menjadi penyumbang kepada masalah tersebut. Mereka tidak ada banyak cara untuk meluahkan rasa kecewa dan marah.

Dalam kebanyakan situasi, apa sahaja yang berlaku, perlu dipendam sahaja. Jadi, tak hairanlah jika ramai juga yang berakhir dengan hikikomori (pengasingan diri dari dunia luar) dan akhirnya ada yang membunuh diri.

Bagaimanapun, semua kejadian itu tidak pernah mengganggu golongan yang sukakan cabaran untuk terus meneroka hutan penuh misteri terbabit. Kebanyakan pengunjung menandakan laluan mereka dengan meninggalkan plastik warna bagi mengelak tersesat, namun ada pula masalah kerana tindakan itu menimbulkan kebimbangan mengenai ekosistem hutan itu.

Misteri Aokigahara juga mendorong seorang pengarah, Takimoto Tomoyoki mengarahkan sebuah filem bertajuk Jyukai – Laut Pokok Di Belakang Gunung Fuji. Ia mengenai kisah empat orang yang memutuskan untuk membunuh diri dalam hutan berkenaan.

Sumber: Buku Prima, Sinar Plus