
Hukum Memberi Ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ Dan Menyertai Upacara ‘Yee Sang’ Dari Sudut Islam
Rakyat Malaysia ketika ini masih lagi meriah berada dalam suasana perayaan Tahun Baru Cina yang disambut beberapa hari yang lalu.
Walaupun masih tertakluk dengan SOP yang ketat, tanpa mengira bangsa dan agama, perayaan ini tetap diraikan bersama-sama sebagai lambang perpaduan unik negara kita.
Namun, terdapat juga kegusaran di kalangan umat Islam yang masih kurang jelas dengan beberapa perbuatan dan amalan yang dikhuatiri bercanggah dengan akidah.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan satu ketika dahulu telah memberi penjelasan mengenai perkara ini.
Menurut Artikel Soal Jawab Bayan Linnas Siri Ke-48: Islam Dan Tahun Baru Cina yang boleh dirujuk di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, beliau turut memberi penerangan yang jelas mengenai ungkapan ‘Gong Xi Fa Cai’ dan upacara Yee Sang.
Semoga dengan pencerahan ini, lebih ramai umat Islam akan lebih jelas dan tidak lagi berasa risau. Ikuti ringkasan dari artikel tersebut:

Maksud ‘Gong Xi Fa Cai’
“Gong xi fa cai” (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai “Tahniah dan semoga mendapat rezeki”. Ungkapan ini yang sering tersalah angggap sebagai bersinonim dengan “Selamat tahun baru” mula digunakan berabad-abad lalu. Dua aksara pertama ungkapan ini mempunyai kepentingan sejarah yang lebih lama (menurut legenda, ucapan tahniah adalah bagi kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, namun secara praktis ini juga boleh melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk). Melihat kepada maksudnya ini, ianya jelas tidak bermasalah dan tidak bercanggah dengan akidah Islam malah ianya satu ucapan yang amat baik dan melambangkan perpaduan yang erat sesama kita.
Yee Sang (Mengajukan Ucap Selamat Demi Kemakmuran/Prosperity Toss)
Di Malaysia mahupun Singapura, masyarakat Cina amat sinonim dengan Yee Sang iaitu satu upacara makan bersama yang diadakan bagi mengucapkan kemakmuran. Uniknya Yee Sang ini adalah apabila ianya hanya popular bagi masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura dan tidak pula di tanah besar China, Hong Kong dan juga Taiwan.
BACA: Tradisi Gaul Yee Sang Ketika Tahun Baharu Cina Sebenarnya Berasal Dari Negeri Sembilan
Yee Sang atau disebut juga Yusheng adalah sebuah hidangan yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina di Malaysia. Ia dihidangkan dengan mencampurkan tujuh jenis warna yang berlainan seperti hirisan betik, lobak putih, lobak merah, salmon mentah, kekacang, aneka sayur-sayuran dan aneka sos serta ramuan lain.
Dari kaca mata Islam, makanan yang halal lagi baik maka tidak ada halangan baginya untuk dimakan. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
(Al-Baqarah: 168)
Melihat kepada amalan ini, ianya lebih kepada adat dan tidak ada sangkut pautnya dengan permasalahan akidah dan harus hukumnya bagi umat Islam yang diajak untuk turut serta dalam upacara Yee Sang ini selama mana makanan yang dihidangkan halal dan tidak ada perkaitannya dengan permasalahan akidah baik dari segi ucapan mahupun iktikad terhadap upacara tersebut. Begitu juga selama mana tidak ada unsur-unsur maksiat dalam upacara tersebut. Wallahu a’lam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan