
Hospital Indonesia Terpaksa Tingkatkan Kawalan Keselamatan Selepas Ramai Keluarga Larikan Mayat Mangsa COVID-19
Gara-gara terlalu ramai mayat mangsa COVID-19 dilarikan sanak saudara kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut agama masing-masing, hospital Indonesia terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di rumah mayat mereka.
BACA: Catat Peningkatan Kes Kematian Mendadak Setiap Hari, Indonesia Perlu Bantuan Dunia Tangani COVID-19
Situasi ini tetap berlaku meskipun mayat sudah sedia untuk dikebumikan mengikut protokol virus sehingga menyebabkan pihak berkuasa Makassar terpaksa meletakkan lebih banyak kakitangan bagi mengawal kejadian ini daripada berlaku lagi di hospital tempatan.
Setakat ini sekurang-kurangnya sudah 33 individu ditahan dan kesemua bakal berdepan dengan hukuman tujuh tahun penjara kerana telah melanggar peraturan kuarantin kesihatan.
Menurut jurucakap polis tempatan, Ibrahim Tompo, keadaan menjadi lebih buruk apabila tersebarnya khabar angin yang mendakwa beberapa mayat telah dijadual untuk dikebumikan segera meskipun meninggal dunia kerana penyakit yang tiada kaitan dengan wabak pandemik COVID-19.
Berita palsu yang tersebar menjadikan kaum keluarga mayat panik dan bertindak merampas mayat bagi disempurnakan mengikut tuntutan agama biarpun kerajaan Indonesia telah menetapkan mayat COVID-19 perlu dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Terdahulu, hanya kerana salah faham berhubung prosedur operasi standard (SOP) pengebumian jenazah wabak COVID-19, puluhan ahli keluarga telah melakukan amuk dengan pihak berkuasa di sebuah hospital Indonesia di Makassar kerana tidak membenarkan mereka menguruskan jenazah.
Malah media juga melaporkan, gara-gara terlampau berani membuka keranda mayat pesakit COVID-19 dan memandikan jenazah, seramai 15 penduduk di sebuah kampung di Sidoarja, Indonesia telah disahkan dijangkiti sehingga menyebabkan kematian baharu.
Indonesia menetapkan peraturan bahawa keranda pesakit COVID-19 tidak boleh dibuka dan pengebumian yang dilakukan pekerja kesihatan yang memakai pakaian khas tidak boleh melebihi tempoh empat jam.
Setakat hari ini, Indonesia telah mencatatkan 38,277 kes dengan angka kematian seramai 2,134 dan kes aktif sebanyak 21,612.
Sumber: Harian Metro