
Hingga Kini Masih Tidak Dapat Bantuan, Mangsa Banjir Menangis Setelah Akhirnya Ebit Lew Yang Tampil Untuk Bina Semula Rumahnya
Mangsa banjir warga emas Rohana Mahfuz, 76 yang kehilangan seluruh rumahnya di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini akhirnya menerima kunjungan Ustaz Ebit Lew.
Ini setelah media melaporkan nasib beliau yang masih tidak mendapat apa-apa bantuan dari mana-mana pihak walaupun sebulan telah berlalu.
Disember lepas, rumah pusaka yang dibina pada tahun 1969 dan merupakan peninggalan ibu bapanya itu dihanyutkan oleh banjir sehingga yang tinggal hanyalah tangga.
Sehingga kini, masih belum ada mana-mana pihak yang tampil untuk benar-benar membantunya membina tempat perlindungan yang baharu.

Dalam masa tidak sampai 24 jam setelah dilaporkan oleh media, Ustaz Ustaz Ebit Lew datang menemui beliau untuk sama-sama meneliti pelan serta menghubungi kontraktor bagi menyiapkan projek rumah baharu tersebut.
BACA: Tak Sampai 24 Jam Ebit Lew Terima 60,000 Permohonan Bantuan Bekalan Dapur
“Kami akan bina semula rumah. Menangis sahaja dari mula jumpa tadi. Sudah sebulan nenek tak tahu macam mana nak bina rumah. Dari mula hanya meluah rasa dan ujian hidupnya,“ jelas Ebit melalui satu hantaran di media sosialnya.
“Nenek tiada suami dan anak-anak. Syukur adik beradik dan jiran tetangga ramai membantu serta masyarakat ramai membantu.
“Doakan rumah nenek dapat kami siapkan mengikut pelan asal. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah,” jelas Ebit lagi.
Warga emas yang keseorangan tersebut menjelaskan, hari itu merupakan hari yang paling gembira buatnya kerana dapat bertemu dengan Ebit Lew yang selama ini hanya dapat dilihatnya di televisyen.
Beliau dilaporkan turut kelihatan tidak henti-henti menangis dan memujuk Ustaz Ebit Lew agar dapat meluangkan lebih masa dan memberikannya lebih banyak tunjuk ajar dan nasihat.
BACA: Dakwah Ustaz Ebit Lew Ke Sabah, 157 Orang Bajau Laut Masuk Islam
Sumber: MalaysiaGazette