
Hilang Pendengaran & Trauma, Mangsa Buli Yang Pernah Failkan Tuntutan RM2 Juta & Menang
Tahukah anda, seorang mangsa buli pernah memfailkan tuntutan RM2 juta dan menang?
Beberapa hari lalu, tular beberapa video yang menunjukkan seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak dibuli beberapa orang murid lain yang merupakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.
Susulan itu, kisah seorang mangsa buli yang pernah memfailkan tuntutan berjumlah RM2 juta terhadap sembilan pihak termasuk lima pembulinya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Menurut sumber Harian Metro, ketika kejadian yang berlaku lima tahun lalu, mangsa baru berusia 14 tahun.
Tuntutan yang difailkan plaintif menerusi bapa mangsa, Ahmad Fauzi Abdullah, 51 tahun pada 2 April 2017 kemudiannya memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menangah Sains Sultan Mahmud (SESMA) membayar tuntutan berjumlah RM616,634.20 kepada mangsa.
Defendan pertama yang diperintahkan membayar tuntutan tersebut adalah lima pembuli yang pada ketika perintah tuntutan itu dikeluarkan berusia 21 tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (defendan keenam), bekas Pengetua SESMA, Meriam Jusoh (defendan ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (defendan kelapan) dan kerajaan Malaysia selaku defendan kesembilan.
Dalam penghakimannya, Hakim berkata kejadian buli yang berlaku pada 26 April 2015 membabitkan mangsa menampakkan kecuaian pihak sekolah kerana tidak membuat kawalan sedangkan jadual wardern bertugas sudah ‘disusun cantik’ dan seperti dirancang kerana ia berlaku di bilik asrama ketua pengawas.
Manakala bagi defendan keenam dan ketujuh cuai dalam menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kebajikan warga sekolah terutamanya keselamatan pelajarnya.
BACA: Polis Dedah Mangsa Tegur Jangan Tonton Video Lucah Punca Dibuli Rakan MRSM
Akibat daripada dipukul, ditendang dan ditampar pembuli yang pada ketika itu berada di Tingkatan Lima, mangsa yang pada ketika itu berada di Tingkatan Dua hilang pendengaran di telinga kanan susulan gegendang telinganya yang pecah serta beberapa kecederaan lain.
Malah disebabkan kecederaan itu juga, mangsa tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup selain daripada mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa berpindah ke sekolah lain pada Julai 2015.
Sekiranya anak anda menjadi mangsa buli, ibu bapa mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan undang-undang jenayah dan saman sivil kepada pihak bertanggungjawab termasuklah pihak sekolah.
Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Mlaaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata laporan polis perlu dibuat untuk tindakan di bawah undang-undang jenayah. Namun ia perlu melibatkan kecederaan fizikal sama ada cedera ringan atau cedera parah kerana kesan mental tidak cukup untuk membawa tindakan tuduhan jenayah.
Untuk tindakan saman sivil terhadap pihak sekolah, boleh di atas nama guru besar atau pengetua sekolah serta kerajaan Malaysia jika melibatkan sekolah kerajaan.
Trending now



