
Hilang Pendapatan Sejak PKP, Kini ‘Fitness Trainer’ Ini Kerja Angkat Sayur Di Pasar
‘Fitness Trainer’ Kini Kerja Angkat Sayur Di Pasar
Berikutan pandemik COVID-19, kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini, menurut PERKESO dan trend ini hanya dijangka meningkat dari April 2020, dengan kehilangan pekerjaan meningkat 50 peratus kepada 200 peratus.
Bukan hanya graduan sahaja yang sukar untuk mencari pekerjaan, malah golongan pekerja pun turut menerima nasib yang sama kerana keadaan ekonomi di seluruh dunia semakin terus akibat krisis COVID-19.
Dalam keadaan sukar ini, peluang mencari pekerjaan baharu sedikit tipis kerana perlu bersaing dengan ramai orang yang kehilangan pekerjaan.
Mujurlah terdapat beribu kerja kosong yang ditawarkan dalam sektor pasar kepada warga tempatan memandangkan pekerja asing yang selama ini memonopoli sektor tersebut sudah dibawa keluar atas sebab berkaitan COVID-19.
Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pasar Borong Harian Selayang, Mohamad Pandu Insan Yahya mendedahkan mereke menerima sambutan baik daripada warga tempatan bagi mengisi kekosongan kerja di pasar tersebut.
Dulu kerja angkat besi di gim, kini kerja angkat sayur di pasar
Sebelum bekerja di pasar, Chin Xie Jun, 34, bekerja di gim sebagai jurulatih kecergasan dan jurulatig kickboxing. Namun, beliau hilang punca pendapatan kerana gim perlu ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tetapi, beliau tidak patah semangat dengan mengambil keputusan untuk bersama-sama rakan perniagaan gimnya bekerja di pasar basah.
“Saya dah bekerja di pasar sejak sebulan lepas. Kena kerja sebab duit dah makin kurang,” katanya ketika ditemu ramah oleh The Star.
Di pasar, Chin bekerja mengangkat bakul-bakul sayur seberat 30-50kg selama 6 jam sehari dan turut akui kerja seperti ini berat dan memenatkan walaupun dahulu kerap mengangkat besi di gim.
“Kerja memang memenatkan. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat latihan angkat berat percuma dan upah RM80-100 selepas 6 jam bekerja.”
Chin menyeru lebih ramai warga tempatan lain untuk menyahut seruan memenuhi permintaan tenaga kerja di pasar-pasar basah.

“Kalau ada kerja, ambil sahaja. Jangan malu. Kerja di pasar lagi baik daripada duduk rumah tidur,” katanya lagi.
Datuk Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, adalah antara netizen yang memuji sikap Chin yang tidak memilih kerja ketika waktu kemelesetan ekonomi ketika ini.
Kira-kira 100 warga tempatan masih menunggu kekosongan kerja di pasar borong Selayang sejak kerajaan menetapkan pengambilan pekerja tempatan. Semenjak itu, pihaknya mengendalikan lebih 20 permohonan kerja sehari.
Sumber: The Star
Trending now



