
Henry Cavill Bengang Superman Berkulit Hitam Bakal Menggantikannya
Selepas Ben Affleck dikatakan ‘ditendang keluar’ dari DC Extended Universe (DCEU) bagi memberi laluan kepada Robert Pattinson sebagai vampire Batman yang baharu, timbul pula desas-desus yang mengatakan pemegang watak Superman juga bakal bertukar lagi.
Berita ini paling tidak sedap didengar oleh Henry Cavill yang secara kebetulan menerima khabar buruk ini pada hari kelahirannya yang ke-38 pada 5 Mei yang lalu.
Seolah-olah mempersenda dan mencari pasal dengannya, sumber mengatakan Henry Cavill kini dikhabarkan sedang sakit hati, hanya berdiam diri dan sudah tidak berhubung langsung dengan Warner Bros.

Ramai peminat Henry tampil memberi ucap selamat hari lahir dan turut memberi kata-kata semangat buatnya di ruangan media sosial.
Dwayne Johnson turut memberikan reaksi kurang gembira dan masih lagi berharap agar dapat digandingkan bersama dengan Henry dalam filem-filem Black Adam kelak.
Filem Superman reboot ini ditulis oleh Ta-Nehisi Coates dan diterbitkan oleh J.J Abrams. Belum ada lagi nama bintang utama dan pengarahnya (dijangka juga berkulit hitam) yang diumumkan secara rasmi setakat ini. Namun, terdapat sumber yang mengatakan filem Superman baru ini sebenarnya bukanlah kesinambungan dari filem-filem DCEU terdahulu.

Sama seperti watak Joker lakonan Jared Leto-Joaquin Phoenix dan Batman lakonan Ben Affleck-Robert Pattinson yang langsung tidak berkongsi ‘alam’ yang sama. Kali ini pula, watak Superman berkulit hitam dijangka berkisar dari jalan cerita komik DC yang memaparkan Calvin Ellis atau Val-Zod dan bukan lagi Clark Kent seperti sebelumnya. Perbandingan yang sama dapat dilihat di antara Peter Parker dan Miles Morales sebagai Spider-Man.
Ketika Amerika Syarikat sedang bergelut dengan isu perkauman dan kesaksamaan jantina, tidak hairanlah Hollywood juga terkena tempiasnya. Disney sudahpun giat menghasilkan filem-filem adiwira Marvel Cinematic Universe (MCU) yang diterajui oleh etnik minoriti. Pixar sendiri pun khabarnya tanpa segan silu sudah memuatkan watak-watak gay dalam filem animasinya.
Tidak kisahlah siapa yang jadi Superman. Filem yang bermutu tidak mengenal warna kulit. Tetapi, selepas filem Superman berkulit hitam ini, rasanya hanya menunggu masa sahaja Warner Bros. akan umumkan pula kita akan dapat melihat Batman berbangsa Asia dan Wonder Woman transgender tidak lama lagi. Aduh! Pasti Henry Cavill bengang lagi.
Sumber: We Got This Covered
Trending now



