Kelantan

Hasil Ujian DNA Mendapati Orang Kelantan Memiliki Gen ‘Terpaling’ Melayu – Kajian

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Hasil ujian DNA yang dilakukan ke atas 11 sub-etnik mendapati orang Kelantan memiliki gen sebenar orang Melayu.

Demikian seperti yang dilaporkan oleh wartawan Muhammad Haikal Ramli melalui satu artikel yang diterbitkan di portal Kosmo!.

Kesimpulan tersebut diperolehi melalui hasil kajian berhubung asal usul bangsa Melayu melalui kaedah genetik untuk mengetahui rahsia DNA.

Hasil kajian yang tertumpu kepada kupasan tentang rahsia DNA dan asal usul bangsa Melayu tersebut telah dikemukakan di YouTube oleh Pengarah Penyelidikan Biokimia Analisis Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin.

“DNA mitokondria adalah sangat unik yang hanya diwariskan oleh ibu kepada anak-anak.

“Kajian terhadap 11 sub-etnik Melayu di Semenanjung Malaysia mendapati hanya Melayu Kelantan mempunyai kumpulan DNA mitokondria yang spesifik kepada kaum dan geografi yang sangat unik dan tersendiri,” jelas Dr Zafarina.

Menurutnya lagi, DNA mitokondria orang Kelantan sedikit berbeza selepas proses ‘sampling’ yang mendapati orang Kelantan senang untuk dapat tiga generasi yang tulen atau tidak bercampur atau kacukan.

Ini mungkin disebabkan ketegasan orang Melayu Kelantan dalam memilih pasangan hidup sekali gus menutup ruang untuk perkahwinan campur.

Dr Zafarina yang mendapat geran kajian daripada Kementerian Pengajian Tinggi juga berkata genetik Melayu Kelantan mempunyai hubung kait dengan genetik Melayu Jawa kerana menurut sejarah, kerajaan Majapahit pernah bertapak di Kelantan satu ketika dahulu.

“Sampel orang Kelantan secara tidak sengaja membuktikan mereka ini adalah ‘pure’ atau asli. Bila dibandingkan, DNA orang Kelantan, orang Jawa dan dan wakil daripada sub-etnik ini nampak lebih tua daripada DNA dekat negara China,” ujarnya lagi.

Pada hari ini, sempadan geografi dan politik telah menyebabkan pelbagai sub-etnik Melayu terlihat sebagai populasi yang berbeza.

Namun menurut Dr Zafarina, perkaitan sub-etnik Melayu ini secara genetik dan hakikat kewujudan orang Melayu di Kepulauan Melayu lebih dari 50,000 tahun dahulu memang tidak dapat dinafikan.

“Berdasarkan kajian yang melibatkan pelbagai sub-etnik Melayu dan Orang Asli, orang Melayu ditemui mempunyai DNA mitokondira yang berusia puluhan ribu tahun, sama seperti Orang Asli Semang,” tambah Dr Zafarina.

Maka telah disimpulkan oleh Dr Zafarina bahawa DNA orang Melayu menunjukkan persamaan yang tinggi dengan Orang Asli Semang iaitu populasi yang paling tua di muka bumi.

Kelantan

BACA: “Apa Salah Kami?” – Kenapa Ramai Wanita ‘Reject’ Lelaki Kelantan Selepas Tahu Asal Mereka?

Sumber: Kosmo!