
Harumkan Nama Malaysia, Yoodo Gank Bakal Beraksi Di Liga Dunia PUBG Mobile
Pasukan e-sukan PUBG Mobile Malaysia, Yoodo Gank dinobatkan sebagai juara dalam Grand Final Liga Profesional Asia Tenggara (PMPL SEA) Musim Bunga 2020, Ahad malam.
Yoodo Gank yang terdiri daripada Abdul Aziz Ikromi (Draxx), Aiman Mohamad (ManParang), Muhammad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo) membawa pulang $30 ribu (~RM128 ribu) selaku juara.
Yoodo Gank atau sinonim dengan gelaran The One and Onleh dalam kalangan peminatnya dinobatkan sebagai terbaik dalam kalangan pasukan-pasukan Asia Tenggara selepas berjaya mengumpul 284 mata dalam 15 pusingan yang dipertandingkan.
Selain wang kemenangan di tempat pertama itu, Yoodo Gank turut mendapat hadiah wang tunai tambahan kira-kira RM44,000 menerusi kemenangan Anugerah Pasukan Paling Popular di Malaysia, kutipan Chicken Dinner (mata kemenangan) sebanyak lima kali dan Anugerah Pemain Terbaik.
Mereka turut menewaskan jaguh dunia, Bigetron Red Aliens (Indonesia) yang sekadar selesa di tempat kedua. Sementara itu dua lagi pasukan Malaysia, Team Secret MY dan Bigetron AROV masing-masing menduduki ke-lima dan ke-12 dalam kejohanan itu.
PMPL SEA berlangsung selama tiga hari, melibatkat 16 pasukan terbaik Asia Tenggara dan menawarkan hadiah wang tunai kira-kira RM640,000 secara keseluruhan.
Difahamkan, Yoodo Gank sebelum ini dikenali sebagai pasukan Gank FTY, namun selepas kejayaan mengungguli PMNC di Vanity Atrium, Sunway Velocity Mall tahun 2018, pasukan terbabit mendapat langganan percuma plan Yoodo selama setahun.
Dengan kejuaraan ini Yoodo Gank bakal beraksi di Liga Dunia PUBG Mobile bersama dengan King of Gamers manakala Bigetron RA dan Team Secret sudah layak sebelum ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sero Reezal Merican Naina Merican merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Yoodo Gank di laman Twitter rasminya. Reezal berkata, kejayaan Yoodo Gank itu dilihat sebagai satu langkah positif untuk meraih lebih banyak pencapaian pada masa akan datang.
“Tahniah Yoodo Gank kerana secara rasmi merangkul galaran juara Asia Tenggara dalam PMPL SEA Final Musim Pertama 2020.
“Ini juga pertama kali Malaysia memenangi kejohanan PUBG Mobile di peringkat Asia Tenggara.
“Semoga pencapaian ini menjadi batu loncatan untuk kejayaan lebih hebat. Selamat maju untuk usaha-usaha akan datang dengan melakukan apa yang anda suka,” tulis Reezal.
Congratulations team Malaysia Yoodo GANK for officially claiming your spot as the SEA Champions for the PMPL SEA Finals 2020 Season 1.
For the first time ever a Malaysian team has won a PUBGM tournament on the SEA level.
Let this be a stepping stone for greater achievements! pic.twitter.com/rrLMYRjv78
— Reezal Merican (@reezal_merican) May 3, 2020