Putus Tunang, Apa Yang Boleh Anda Tuntut Di Mahkamah 2

Harta Sepencarian VS Faraid, Mana Yang Diutamakan Dahulu?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kematian adalah sesuatu yang tak boleh nak dielakkan. Tak ada siapa tahu bila, di mana dan bagaimana akan berlaku. Semuanya kerja Tuhan dan kita hanya mampu bersedia sebaik mungkin.

Sebenarnya bila berlaku kematian kepada salah seorang pasangan, suami atau isteri mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian dan juga harta pusaka mengikut cara yang dibenarkan undang-undang.

Ramai yang terlepas pandang kepentingan persediaan pembahagian harta ini. Ada sesuatu yang perlu kita fahami tentang perihal ini terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.

BACA: Dalam Hukum Faraid, Perempuan Dapat Bahagian Yang Sedikit. Adilkah?

Kedudukan harta sepencarian mendahului faraid

Menurut peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa, mengikut undang-undang syariah, kedudukan harta sepencarian adalah mendahului faraid.

Ini disebabkan lazimnya dalam rumah tangga, hanya suami dan isteri lebih mengenali pasangan mereka berbanding ahli keluarga sendiri.

“Kedua-dua mereka lebih mengetahui sumbangan dan pengorbanan masing-masing berbanding ahli keluarga sendiri,” katanya.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan, meskipun isteri tidak bekerja dan hanya bergelar suri rumah, wanita tersebut masih berhak menuntut harta sepencarian berdasarkan takat sumbangan tak langsung dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

Harta Sepencarian VS Faraid

“Isteri perlu memfailkan pengistiharan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu selepas kematian suami.

“Ini bagi mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan ahli waris kelak. Bukan apa, takut sekiranya harta-harta yang sepatutnya menjadi milik isteri jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, situasi sama terhadap suami apabila isteri meninggal dunia dan mereka juga boleh memfailkan harta sepencarian tersebut.

“Selepas Mahkamah memutuskan harta si mati mengikut bahagian harta sepencarian, maka baki harta tersebut boleh diwasiatkan sekiranya ada, dihibah sekiranya ada dan difaraidkan,” ujarnya.

Sementara itu, pengamal undang-undang syariah itu turut berkongsi ilmu tentang perkara yang perlu dilakukan waris dengan harta si mati jika meninggal dunia.

Berikut adalah turutan sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam:

1. Kos perbelanjaan pengebumian si mati.

2. Langsaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang dengan ALLAH SWT atau hutang kepada manusia.

3. Uruskan wasiat si mati sekiranya arwah ada mewasiatkan hartanya kepada bukan ahli waris dan urus hibah jika ada.

4. Pengisytiharan harta sepencarian.

5. Faraidkan harta si mati.