
Harimau Malaya Di Zoo New York Dijangkiti COVID-19
Seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan, lapor ketua veterinari zoo tersebut pada Ahad.
Zoo yang terletak di sini berkata, keputusan ujian saringan itu disahkan oleh Makmal Veterinar Kebangsaan di Iowa.
Harimau Malaya betina yang bernama Nadia, berusia empat tahun, berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit susulan dijangkiti koronavirus daripada manusia.
Nadia dan kakaknya, Azul dan dua lagi harimau serta tiga ekor singa didapati mengalami simptom batuk. Namun hanya Nadia yang menjalani ujian COVID-19 kerana ia mengalami simptom paling teruk dan sudah mula hilang selera makan.
“Haiwan-haiwan ini didapati tidak berselera makan tetapi kini semuanya sudah baik di bawah penjaga haiwan dan mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, dan interaktif dengan penjaga mereka,” kata zoo berkenaan melalui satu kenyataan.
Kata Ketua Veterinari Zoo Bronx, Paul Calle kepada Reuters, kes Nadia adalah unik kerana ia jatuh sakit selepas terdedah kepada seorang kakitangan yang positif, namun tidak menunjukkan simptom.
“Ini kali pertama kami tahu mengenai kes jangkitan manusia ke haiwan dan menjadikan haiwan itu jatuh sakit,” kata Paul.
Nadia menjalani ujian X-ray, ultrabunyi dan ujian darah untuk memahami penyakitnya sebelum menjalani ujian COVID-19 apabila melihat kepada situasi parah di bandar New York yang menjadi pusat penularan koronavirus di Amerika Syarikat.
Harimau tersebut mula menunjukkan simptom pada 27 Mac. Sehingga kini, Zoo Bronx masih ditutup sejak pertengahan Mac.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.
Anjing milik pesakit wanita berusia 60 tahun itu berulang kali memberikan hasil ‘positif lemah’ bagi COVID-19 sejak Jumaat lalu, apabila ia dikuarantin di pusat haiwan.
BACA: Anjing Peliharaan Disahkan Haiwan Pertama Dijangkiti Covid-19
Setakat ini, zoo tersebut tidak tahu bagaimana virus berkenaan berjangkit dengan haiwan-haiwan lain memandangkan spesis itu memberi tindakan balas berbeza kepada jangkitan.
Tetapi keadaan haiwan-haiwan berkenaan dipantau secara terperinci.
Sumber: Malaysia Gazette