
Hargai Jasa Petugas Barisan Hadapan, Qatar Airways Beri 100,000 Tiket Percuma
Qatar Airways Beri 100,000 Tiket Percuma Kepada Barisana Hadapan
Seluruh dunia kini sedang bergantung harap kepada petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus berkhidmat dalam memutuskan rangkaian penularan COVID-19.
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan serta bersempena Hari Jururawat Sedunia 2020, syarikat penerbangan Qatar Airways menyediakan 100,000 tiket percuma kepada barisan kakitangan kesihatan di seluruh dunia yang tidak pasrah melindungi dan menyelamatkan nyawa penduduk dalam mengekang wabak COVID-19.
“Kami di Qatar Airways sangat berterima kasih atas komitmen dan kerja keras kakitangan kesihatan di seluruh dunia yang menjaga pesakit COVID-19 yang sangat sukar ketika ini,” kata Ketua Eksekutif Qatar Airways Group, Akbar Al-Baker, dalam satu kenyataan di laman web mereka.
“Sikap baik, dedikasi, dan profesionalisme mereka yang berani telah menyelamatkan ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.”
Untuk itu, Qatar Airways mahu memberi sepasang tiket percuma penerbangan mereka kepada semua petugas kesihatan termasuklah doktor, pengamal perubatan, jururawat, juruteknik makmal, penyelidik klinikal dan ahli farmasi dari seluruh negara.
Bagi memastikan proses permohonan berjalan dengan adil dan telus, setiap negara akan menerima peruntukan tiket setiap hari berdasarkan jumlah populasi keseluruhan.
Pekerja barisan hadapan yang terpilih akan dapat menempah sebanyak dua tiket pergi dan balik kelas ekonomi ke mana sahaja pilihan destinasi. Malah, kakitangan kesihatan yang terpilih juga akan mendapat diskaun sebanyak 35 peratus di mana-mana kedai runcit Qatar Duty Free di hab syarikat penerbangan di Hamad International Airport (HIA) di Doha.
Kepada kakitangan kesihatan barisana hadapan yang layak, boleh membaca terus syarat-syarat kelayakan dan membuat permohonan secara langsung di laman web Qatar Airways bermula hari ini, 12 Mei sehingga 18 Mei 2020.