
Harga Minyak AS Negatif, Perlu Ke Kita Susah Hati?
Hari ini dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak paling dahsyat dalam sejarah sejak ia mula didagangkan di New York Mercantile Exchange (NYMEX) pada 1983 – harga minyak WTI (West Texas Intermediate) jatuh bawah AS$0 setong hingga ke paras negatif (AS$ -37 setong).
Dalam konteks di Malaysia, pendapatan negara kita adalah bersandarkan harga minyak Brent Crude, bukannya WTI ini. Harga minyak Brent Crude juga jatuh, tetapi tidak seteruk WTI.
Menurut Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee, kejatuhan harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) di bawah paras sifar tidak mencerminkan kedudukan pasaran minyak secara keseluruhannya.
Katanya, meskipun kejatuhan teruk dalam sejarah bagi harga WTI itu turut menjejaskan sentimen pelaburan global, namun ia bukan menandakan dunia akan berakhir.
Ia hanya membabitkan kontrak hadapan Mei saja, yang mana kontrak hadapan WTI bagi Jun dan kontrak penanda aras minyak antarabangsa, Brent masih didagangkan positif.
Kejatuhan harga kontrak Mei itu didorong sebahagian besarnya oleh kekurangan tempat untuk menyimpan minyak susulan kapasiti penyimpanan kini menghampiri kapasiti penuh kerana kekurangan permintaan berikutan impak penularan COVID-19.

“Penyimpanan di AS, nampaknya menghampiri kapasiti penuh kerana inventori capai paras puncak berikutan kekurangan permintaan yang disebabkan oleh COVID-19. Jika gagal mendapat ruang untuk simpanan minyak, pembelian adalah tidak bermakna,” katanya.
Guardian melaporkan harga negatif itu bermaksud pengeluar minyak terpaksa membayar pembeli untuk mengambil bahan bakar itu daripada mereka berikutan fasiliti simpanan sudah penuh.
Dengan berita menggemparkan dari Amerika, adakah ini bermakna jika kita isi minyak hari ini di stesen petrol, tuan punya stesen akan membayar kita pula bagi setiap liter petrol?
Secara ringkasnya, turun naik harga minyak yang menggemparkan ini lebih melibatkan pedagang di pasaran dunia, tanpa banyak menjejaskan pemandu kereta di Malaysia.
Dalam pada itu, Presiden AS Donald Trump berjanji akan memanfaatkan situasi itu untuk mengisi Rizab Strategik Petroleum negara itu. Ia adalah fasiliti bagi menyimpan bahan api berkenaan untuk negara berkenaan.
Trump bercadang menambah simpanan strategik petroliam Amerika Syarikat sebanyak 75 juta tong dari kejatuhan harga WTI pada Isnin.
Untuk bacaan lanjut boleh ke pautan di bawah ini:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10216277718005121&set=a.1116894892091&type=3&theater
Trending now



