
Harga Mahal, Beg Makin Berat, Ibu Bapa Kesal Kenapa Pihak Sekolah Masih Wajibkan Murid Beli Buku Aktiviti Tambahan
Tiap-tiap kali tiba musim untuk kembali ke sekolah, pasti ramai ibu bapa pening kepala dengan jumlah perbelanjaan tinggi yang terpaksa mereka keluarkan.
Pada masa inilah anak-anak yang nak kembali ke sekolah itu rata-ratanya memerlukan uniform baru, beg baru, kasut baru, alat tulis baru dan serba-serbi lagi semuanya baru.
Entah kenapa, setiap tahun, makin menjadi-jadi pula pihak sekolah seolah-olah hendak menambah lagi beban ibu bapa pada waktu yang sukar ketika ini.
Seperti yang dikongsikan di Facebook Mohd Fadli Salleh ini, dua ibu bapa dari sekolah yang berbeza telah mengadu kenapa murid diwajibkan untuk membeli buku aktiviti tambahan.
Harganya yang mahal pula sudah tentu memberi ‘kesan’ kepada poket ibu bapa lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai.
Ketika isu berat beg murid sekolah masih tiada penyelesaian, pihak sekolah pula seolah-olah hanya ‘lepas tangan’ dan mengambil kesempatan untuk ‘berniaga’ serta memaksimumkan keuntungan.
Ikuti pendedahan yang dibuat di Facebook Mohd Fadli Salleh berikut:
Dua ibu bapa dari sekolah berbeza PM bagitahu isu pihak sekolah wajibkan murid beli buku aktiviti tambahan termasuk murid Tahap 1.
Murid Tahun 1-3 ni dah pun ada buku aktiviti yang dibekalkan KPM saban tahun. Buku tu pun ada yang tak sempat cikgu-cikgu nak habiskan.
Ni nak tambah buku aktiviti lagi dah kenapa pula? Dah la beg berat yakmat dah dengan buku sedia ada, nak tambah lagi bebanan anak-anak kita.
Harga dah la mahal. Sampai beratus. Kalau ada 3-4 orang anak sekolah rendah, memang parah juga poket mak ayah.
Musim gawat ni, jangan la tambah bebanan ibubapa. Mak ayah dok pening nak cari duit beli seragam sekolah pun tak hilang serabut kepala lagi. Tambah pula ada sekolah yang mewajibkan beli buku tambahan seperti ini.
Pakai jelah buku aktiviti yang dah dibekalkan tu. Apa salahnya?
Dan bila isu ini diadukan pada GB/pentadbir, mereka tetap kata itu keperluan murid dan wajib beli walau secara ansuran.
Minmin rasa kalau sampai aduan terus kepada sekolah mereka tak layan, better mak ayah panjangkan isu kat PPD dan JPN. Tak jalan juga boleh report kat KPM melalui SISPAA atau e-mel KPM.
Kalau tanya Minmin, tiada keperluan murid Tahap 1 ada buku aktiviti tambahan. Itu jawapan muktamad saya.
Sekian.
-Minmin-
#MFS

Sumber: Mohd Fadli Salleh