
Harga Daging Burger Melonjak Naik, Lebih 40,000 Peniaga ‘Pening Kepala’
Kira-kira 40,000 peniaga burger di seluruh negara kini sedang terkesan dengan kenaikan harga daging atau ‘patti’ burger sejak 15 Oktober lalu.
Menurut laporan Utusan Malaysia, kenaikan bahan utama yang dibekalkan oleh pengeluar utama burger di Malaysia pada masa ini menyebabkan mereka dalam dilema untuk meneruskan perniagaan masing-masing.
Ada di antara mereka kini terpaksa menaikkan harga burger kerana tidak lagi mampu menampung kerugian di samping margin keuntungan yang kecil setiap hari.
Bergantung juga kepada saiz daging yang digunakan, namun harga jualan untuk burger biasa kini ada yang sudah mencecah sehingga RM5.
Ini disebabkan oleh lonjakan kenaikan di antara 80 sen sehingga RM1 bagi setiap peket daging dan ayam seberat 70g, 60g dan 50g.
Tindakan menaikkan harga ini sudah tentu mengundang risiko kerana ianya boleh menyebabkan pelanggan lari tanpa mereka menyedari nasib sebenar peniaga burger kini yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah.
Lebih malang, buat masa ini juga peniaga burger turut ‘pening kepala’ dengan krisis kekurangan bekalan dan kenaikan harga telur bagi menyediakan burger ‘special’ atau ‘benjo’.
“Untuk patti ayam dan daging serta roti, harga naik sejak 15 Oktober lalu. Sebelum ini untuk satu pek patti daging 70g harganya dalam RM6.20 namun kini sudah naik sehingga RM7.60, memang ia merunsingkan peniaga kecil seperti kami.
“Mahu tidak mahu, kami terpaksa menaikkan harga jualan contohnya harga burger daging biasa, sebelum ini dijual pada harga RM3.50, namun kini dijual dalam anggaran harga RM3.80 sehingga RM4 dan jangan terkejut jika ada yang jual sehingga RM5.
“Kami peniaga terpaksa menaikkan harga, jika tidak kami terpaksa menanggung kerugian dan akhirnya yang jana keuntungan hanya pengeluar sahaja dan kita bekerja untuk kayakan mereka,” jelas seorang peniaga burger yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 37.
“Apabila harga jualan dinaikkan, apa yang berlaku ialah kuantiti jualan saya merosot. Dahulu boleh jual sehingga 200 biji burger untuk satu malam tetapi sekarang nak mencecah 100 biji pun agak susah. Orang sudah berkira-kira mahu beli burger tepi jalan,” tambahnya lagi.
Azlan turut menjelaskan bahawa ‘tekak’ rakyat Malaysia juga sudah biasa dengan jenama tempatan tersebut dan jika dia bertukar jenama, pelanggan boleh ‘lari’.
Hafiz Hitmi, 38, pula berkata ramai rakannya yang sebelum ini turut bekerja sambilan menjual burger terpaksa berhenti kerana margin keuntungan yang terlalu kecil dan kini sedang mencari pendapatan tambahan dengan menjadi penghantar makanan.
BACA: “Ayam Kat Malaysia Ni Memang Tengah Musim Mandul Ker Aper?”
Sumber: Utusan Malaysia