Harga Durian

Harga Barang Semua Naik, Tapi Harga Durian Dijangka Turun?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Meskipun sebelum ini terdapat desas-desus yang mengatakan harga barang akan mancanak naik sehingga 60% bermula Jun ini, harga raja buah – durian pula dikatakan akan mula turun.

Macam tak percaya pula, ketika harga ayam, daging, ikan, sayur, tepung dan minyak masak semuanya nak naik bulan depan, harga durian pula nak turun?

Memetik laporan dari BERNAMA, penggemar durian di Malaysia dijangka dapat menikmati keenakan buah itu pada harga lebih mampu milik pada Jun nanti.

Ini berikutan harganya dijangka menurun sedikit berbanding harga ‘Yahudi’ biasa sebelum ini akibat lebihan bekalan dari lebih banyak negeri lain.

Harga Durian

Pada masa ini, hanya Pulau Pinang mempunyai banyak lebihan bekalan di pasaran sejak awal bulan ini disebabkan tempoh pengeluaran durian di negeri tersebut adalah pada pertengahan April dan awal Mei.

Namun, harganya kini telah menunjukkan trend menurun dan dijangka akan terus turun apabila bekalan dari negeri lain diperolehi mulai bulan depan.

Bekalan durian masih berkurangan berikutan musim durian belum tiba ke kemuncaknya dan hanya durian dari Pulau Pinang mudah didapati ketika ini untuk diedarkan ke negeri lain.

Berikutan itu, harganya masih tinggi buat masa ini akibat kelemahan mata wang ringgit, kos buruh asing yang tinggi dan kenaikan harga baja.

Jun merupakan masa yang terbaik untuk ‘hantu’ durian menikmati buah itu pada harga lebih rendah kerana lebih banyak pilihan dan bekalan dari Pahang, Negeri Sembilan dan Johor akan tiba.

Pemilik dusun durian Lai Kuan Beng, 50, berkata, “Apabila musim durian bermula awal bulan ini, durian premium seperti Black Thorn berharga RM100 sekilogram, musang king RM75 sekilogram manakala Hor Lor dan Udang Merah RM50 sekilogram.

“Kini, harganya jatuh dan saya jangka ia akan terus jatuh apabila bekalan dari negeri lain diperoleh mulai bulan depan,” jelasnya lagi.

Pemilik kedai 1818 Durian and Fruit Dealer di Balik Pulau, Elvis Liew Min Long pula berkata, “Minggu ini harga mula turun perlahan-lahan”.

Harga durian yang naik turun mungkin normal setiap tahun ketika musimnya tiba. Namun, adakah penurunan harganya tahun ini masih lagi menyebabkannya terlalu mahal?

Ketika harga barang lain juga semakin mahal, mungkinkah sedikit masa lagi, durian premium juga hanya mampu dinikmati oleh golongan ‘kayangan’ sahaja?

BACA: Makin Mewah Kenderaan, Makin Mahal – Taktik Licik Segelintir Peniaga Durian

Sumber: BERNAMA