
Hanya Tinggal Gelaran, Kehidupan Terkini Keturunan Raja Melayu Singapura Terakhir
Kehidupan Terkini Keturunan Raja Melayu Singapura Terakhir.
Hanya tinggal negara Malaysia sahaja yang masih memartabatkan kuasa diraja, tidak seperti di negara jiran Indonesia dan Singapura.
Pasti ada yang tertanya-tanya di manakah keberadaan keturunan Raja Melayu Singapura terakhir iaitu keturunan Sultan Hussein Shah.
Memetik sumber Reuters, dilaporkan bahawa kerabat diraja daripada raja negara itu pada abad ke-19 kini hanya bekerja seperti orang kebiasaan. Malah, ada dalam kalangan kerabat mencari rezeki dengan membawa teksi, bekerja sebagai tukang cuci untuk menyara kehidupan.
“Masih wujud?” respon yang diterima apabila cuba memberitahu orang awam tentang dirinya sebagai keturunan Sultan Hussein Shah
Tengku Shawal, 51, seperti yang dibawa dalam namanya, adalah seorang putera yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan atau pemerintah diraja. Walau bagaimanapun, hakikatnya kini masih ramai lagi penduduk di Singapura yang tidak mengetahui tentang kewujudan mereka.
Tengku Shawal berkongsi kisah ketika ditemuramah oleh Reuters, dahulunya beliau pernah tinggal di istana yang terletak di Kampung Glam sebelum seluruh kaum kerabatnya diminta untuk berpindah bagi menjadikan istana berkenaan sebagai Pusat Warisan Melayu pada tahun 2002.

Walaupun sekian lama perlu meninggalkan istana berkenaan, Tengku Shawal sehingga kini masih lagi mengunjungi istana yang dijadikan muzium itu dahulu disamping melawat masjid dan tanah perkuburan yang berada berdekatan dengan lokasi muzium berkenaan.
Berbicara tentang usahanya untuk melestarikan warisan kaum kerabatnya pada masa ini, Tengku Shawal memaklumkan bahawa beliau sering menggayakan persalinan pakaian tradisional kerajaan disamping menghadiri pelbagai acara perayaan yang disambut di negara itu.
Hanya tinggal gelaran
Begitu juga yang dikongsikan oleh salah seorang kerabat diraja yang pernah tinggal di istana ketika zaman kecilnya, Tengku Indra, 67, mengakui bahawa status yang dimiliki oleh kerabatnya tidak memberi impak kepada kehidupan mereka.
“Kami bukan dinasti. Tidak penting sama ada anda berketurunan kerabat kerajaan atau tidak.
“Apa yang penting adalah anda harus memperoleh kehidupan melalui meritokrasi dan bukannya menikmati status yang ditentukan berdasarkan kedudukan nenek moyang,” katanya.

Manakala Tengku Faizal, 43, yang juga pernah tinggal di istana dan memutuskan untuk tinggal bersendirian pada tahun 1999 kini dilaporkan pernah mencari rezeki sebagai seorang tukang cuci di sebuah kondominium di Singapura sebelum memutuskan untuk menjadi pemandu teksi.
Masih bergelut mendapatkan wang secukupnya, Tengku Faizal turut menyatakan bahawa isterinya juga perlu bekerja di restoran makanan segera McDonald’s untuk membantu menampung perbelanjaan seharian mereka.

Beliau juga mendapat bantuan kewangan untuk meliputi kos penjagaan anak perempuannya berikutan statusnya sebagai penduduk berpendapatan rendah.
“Kami tidak pintar, kami tidak kaya. Kami cuma ada gelaran sahaja,” luah Tengku Faizal.
Sumber: Reuters