Tugu Jepun

Hanya Kesilapan Teknikal, Tiada Niat Iktiraf Tentera Jepun Sebagai Wira

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai papan maklumat tugu peringatan Jepun yang dikaitkan dengan gelaran wira kepada tentera Jepun yang menjajah tanah air.

Ramai yang mempersoalkan penggunaan gelaran hero atau wira kepada tentera Jepun seolah-olah kerajaan mengiktiraf penjajahan mereka.

Tugu Jepun
Sumber: The Patriots

Selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak, papan maklumat berkaitan perkara itu di tugu askar negara tersebut, segera diturunkan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Exco Pelancongan, Mohd Asmrul Anuar Aris, kerajaan negeri mahupun beliau sendiri tidak pernah mengiktiraf askar Jepun sebagai wira seperti didakwa sesetengah pihak dan menjelaskan kekeliruan itu ekoran kesilapan teknikal pihak berkaitan.

Tugu Jepun
Sumber: Malaysia Kini

“Perkataan ‘wira Jepun’ hanya kesilapan teknikal oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dalam bahan promosi tugu itu kerana kita tidak akan sama sekali menyatakan askar Jepun sebagai wira.”

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak membelanjakan wang untuk pembinaan tugu terbabit.

Tugu itu sudah lama wujud semasa zaman penjajahan Jepun ke tanah air. Ia cuma dibaik pulih dan diperindahkan kawasan yang sebelum ini ditumbuhi semak. Semua kos baik pulih dibiayai pihak Konsul Jepun.

Menurut papan maklumat tiga bahasa bersebelahan tapak tersebut, tugu peringatan itu sebagai mengenang tindakan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

Ketiga-tiga mereka terkorban ketika cuba memusnahkan jambatan Alor Setar ketika penaklukan awal kuasa penjajah Jepun di Tanah Melayu dan Borneo pada 13 Disember 1941.

Menurutnya, beliau turut meminta perkataan ‘anti perang’ atau ‘tidak mahu perang’ pada tugu berkenaan bagi mempromosi nilai keharmonian dan keamanan namun berkemungkinan ada pihak terlepas pandang.

Tugu tersebut dipromosikan hanyalah sebagai menarik minat pelancong Jepun berkunjung ke Kedah.

Sumber: Sinar Harian