Hanya Di Malaysia Dan Indonesia? Tiga Negara Ini Juga Memiliki Seni Batik Tersendiri

Baru-baru ini, seni batik kembali menjadi perbincangan hangat apabila satu laporan berita mendakwa batik merupakan seni tradisional China sehingga mencetuskan kemarahan netizen terutamanya dari Indonesia.

Xinhua News Ahad lalu memuat naik laporan batik, menggunakan lilin yang dicairkan dan corak kain dilukis dengan alat pengukir, dihasilkan kumpulan etnik di China.

“Lihat bagaimana kraf purba berkembang mengikut peredaran zaman,” catat Xinhua di Twitter, menyiarkan video berdurasi 49 saat pembuatan seni itu.

Klip itu menggambarkan batik sebagai kraf tangan yang diamalkan oleh etnik minoriti di wilayah Guizhou dan Yunan di barat daya China. Bagaimanapun, laporan itu membangkitkan persoalan dalam kalangan warga Twitter tentang asal usul batik.

Kenyataan yang cukup berani oleh media China menjadi tanda tanya tentang asal usul batik, dan didapati bahawa tiada yang benar-benar tahu dari mana asalnya.

Menurut sumber, ada yang mengatakan perkataan batik berasal daripada bahasa Jawa yang bererti ‘menulis’ namun dalam sumber lain, batik berasal dari perkataan ‘bacik’ yang bermaksud tatu.

Dalam memahami sejarah kraf tangan ini, teknik mencanting batik telah wujud di Timur Tengah, Mesir, Peru, Jepun, Turkistan, Timur, Afrika Barat, Sri Lanka, Eropah, India, Indonesia, Malaysia dan termasuklah China sejak dua alaf yang lalu.

Justeru, tidak jelas asal usul batik tetapi yang pastinya beberapa negara Asia dan Afrika giat mengusahakan seni batik sehingga kini.

1. China

Batik Bukan Hanya Di Malaysia Dan Indonesia

China memiliki sejarah panjang mengenai pembuatan batik sejak awal abad ke-6. Kain batik adalah bahan asas untuk membuat pakaian tradisional etnik Miao di wilayah Guizhou.

Hampir semua masyarakat Miao pandai melukis kain kapas yang mereka tenun dengan lilin panas dan kemudian dicelupkan ke dalam pewarna semula jadi daripada bunga. Corak batiknya pula banyak bermotifkan naga, burung Phoenix dan bunga.

2. Afrika

Batik Bukan Hanya Di Malaysia Dan Indonesia

Batik banyak ditemui di Nigeria, yang mana orang suku Yoruba membuat busana indah berdasarkan kain batik yang dihasilkan sendiri.

Mereka secara amnya menggunakan kaedah yang berbeza. Pertama ialah adire eleso, dengan motif yang dibuat dengan teknik tali leher dan jahitan. Kedua, menggunakan gaya adire eleko, bermotifkan corak daripada bahan semula jadi.

Motif batik Nigeria pada umumnya terdiri daripada bentuk geometri yang abstrak dan lukisan figuratif. Pencanting batik melahirkan ekspresi melalui motif yang mereka lukis.

3. Ukraine

Batik Bukan Hanya Di Malaysia Dan Indonesia

Tidak seperti China dan Afrika, tradisi ‘membatik’ di Ukraine diterapkan pada telur. Tradisi melukis telur telah wujud selama beribu-ribu tahun di Ukraine. Telur menjadi bahagian penting dalam perayaan festival musim bunga.

Masyarakat Ukraine mempunyai kebiasaan melukis telur dengan meratakan lilin ke kulit telur untuk membentuk motif. Ia memakan masa yang lama untuk melukis batik pada telur, lebih-lebih lagi jika motif yang dibuat amat rumit dan terperinci.

Beza batik Malaysia dan Indonesia

Batik Bukan Hanya Di Malaysia Dan Indonesia

  • Batik tempatan lebih kepada corak lebih halus, motif bunga dan fauna seperti rama-rama dan berwarna terang, manakala batik Indonesia lebih kepada haiwan seperti unggas dan berwarna gelap.
  • Motif rekaan batik Indonesia lebih penuh berbanding batik tempatan yang lebih ringkas.
  • Kegunaan batik di Malaysia umumnya digayakan sebagai pakaian dan aksesori. Indonesia digayakan ketika perkahwinan dan majlis rasmi.

Jadi, laporan China berkenaan rasanya tidak salah mengenai batik kerana ketengahkan seni batik mereka.