
Hanya Bertahan 1 Episod, Drama Nur Tak Dapat Sambutan Di Indonesia
Drama bersiri yang pernah mencetuskan fenomena di negara ini, Nur, yang turut menembusi pasaran negara jiran, Indonesia dilaporkan hanya bertahan disiarkan satu episod di stesen MNCTV.
Kegagalan itu selepas stesen TV menggantikan dengan menyiarkan sinetron lain dari negara itu dan turut tular diperkatakan netizen yang meluahkan kehairanan.
Difahamkan, Nur yang diterbitkan syarikat produksi Radius One itu dihenti tayang kerana tidak mencapai jumlah tontonan atau rating yang bagus.
Tambahan, bukanlah menjadi perkara pelik di sana apabila pihak pengurusan stesen televisyen menghentikan sesuatu program jika didapati kurang sambutan.
Drama Nur disiar pada waktu kemuncak (tempoh paling tinggi penonton) di MNCTV pada 13 April lalu selama sejam bermula 4.30 pagi Waktu Indonesia Barat (5.30 pagi waktu Malaysia).
Slot itu juga paling banyak iklan ditayangkan dalam semua program ke udara kerana masa itu lebih 200 juta umat Islam di Indonesia sibuk bersahur sebelum solat fardu subuh.
Walaupun diletakkan pada slot perdana, tidak menjadi jaminan bahawa drama Nur akan mendapat sambutan yang menggalakkan di Indonesia.
Pandangan tersebut turut diakui seorang lagi netizen yang pernah bertugas di republik itu sambil menyifatkan rakyat Indonesia secara umumnya tidak begitu menggemari drama Malaysia.
Penerbit anggap tiada isu
Melihat situasi itu, penerbit dan pengarah Nur, Shahrulezad Mohameddin, berkata drama tersebut dihasilkan mengikut selera penonton rakyat Malaysia dan bukan selera penonton di sana.
“Kalau betul Nur hanya ditayangkan satu episod saja pun, bagi saya tidak ada isu. Lagi pula saya menghasilkan drama ini mengikut selera penonton kita, bukan ikut kehendak penonton di sana.
“Jadi, apabila drama ini ditayangkan di sana, kita tak jangka ia akan diterima atau tidak. Selera penonton berbeza,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, pihak MNCTV menganggap drama rantaian Nur sangat menarik, menghiburkan dan merupakan hasil kerja produksi yang hebat serta ia berbeza berbanding program biasa yang ditayangkan dalam stesen TV itu.
Drama Nur juga diambil inspirasi dan dijadikan sinetron di sana yang berjudul Bismillah Cinta, telah ditayangkan sejak 12 April lalu.
BACA: ‘Bismillah Cinta’ Sinetron Yang Diinspirasikan Daripada Drama ‘Nur’
Nur yang meraih lebih 10 juta tontonan ketika ditayangkan menerusi TV3 pada 2018 dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan Azar Azmi.