Aplikasi What3Words

Hanya 3 Perkataan, Wanita Kongsi Pengalaman Sesat Dalam Hutan Berjaya Ditemui Dengan Aplikasi Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Malang tidak berbau, tiada siapa dapat menduga pengalaman pahit seperti sesat atau musibah yang menimpa diri. Disebabkan itu, kita perlu berhati-hati dan mengambil langkah awal dalam isu keselamatan.

Dalam beberapa hari lepas, terdapat laporan mengenai dua peserta acara lasak Sarawak Adventure Challenge sesat akibat terkeluar dari trek cabaran berkenaan namun telah selamat ditemui selepas kira-kira tiga jam.

Salah seorang peserta tersesat itu, Chai Shiaw Fung berkongsi pengalaman cemas di hantaran Facebooknya bagaimana dia dan rakannya ditemui dalam masa tiga jam sahaja.

Selalunya misi mencari dan menyelamat di dalam kawasan hutan mengambil masa agak lama kerana pasukan SAR tidak mengetahui kedudukan mangsa tersesat, ditambah dengan kawasan hutan yang tidak mempunyai liputan internet atau GPS.

Tetapi berlainan pula dengan kisah yang dikongsikan Shiaw Fung kerana beliau menghantar kod tiga perkataan untuk membolehkan pasukan SAR mencari kedudukan beliau di dalam hutan.

Menurut Shiaw Fung, beliau menggunakan aplikasi What3Words yang mana aplikasi itu menghantar tiga perkataan iaitu ‘collapse, yardage, broadening‘ kepada pengurusnya yang berada di luar lokasi offline dan kemudian ditukar kepada satu koordinat.

Koordinat tersebut dihantar kepada pasukan penyelamat untuk memulakan operasi pencarian sehingga akhirnya membolehkan mereka ditemui beberapa jam kemudian.

Aplikasi What3Words merupakan sebuah aplikasi pengesan lokasi bersifat penyelamat kehidupan dengan hanya menggunakan 3 perkataan unik yang telah ditetapkan.

Aplikasi What3Words

Menurut pembangun aplikasi ini, mereka telah membahagikan planet ini kepada 57 trillion segi empat dengan keluasan 3m x 3m dan menentukan setiap segi ini dengan 3 kod perkataan unik yang tidak akan berubah walaupun kawasan tersebut dirobohkan. Menariknya, aplikasi ini juga boleh digunakan walaupun semasa tiada liputan internet atau GPS.

Aplikasi ini juga turut digunakan polis Avon & Somerset, United Kingdom untuk mengesan lokasi sepasang ibu dan anak dalam sebuah kemalangan kenderaan di kawasan terpencil di Somerset. Selain itu, United Nations serta Persatuan Palang Merah Filipina juga telah menggunakan aplikasi ini untuk mengesan lokasi penghantaran bantuan kecemasan dengan tepat.

Shiaw Fung turut menggesa agar pasukan penyelamat, penganjur serta orang awam untuk memuat turun aplikasi ini bagi memudahkan pencarian lokasi serta menjimatkan masa.

Sumber: FB Chai Shiaw Fung