Hans Isaac pengerusi Finas

Hans Isaac Sah Pegang Jawatan Sebagai Pengerusi Baharu Finas

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac telah dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini bagi tempoh 2 tahun.

Menurut menterinya, Gobind Singh Deo, Hans Isaac menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas pemangku pengerusi sejak lebih 4 bulan lalu.

“Hans mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman dan terkenal sebagai pelakon, penerbit dan pengarah filem. Beliau menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan.”

Hans juga pernah menjadi ahli lembaga penasihat Finas dan ahli lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.

Hans Isaac pengerusi Finas
Sumber: Theworldnews

Sebelum ini, dimaklumkan Hans telah disenarai pendek sebagai calon bagi jawatan berkenaan.

Dengan pelantikan ini, Gobind menyuarakan harapannya agar Hans dapat meningkatkan lagi usaha Finas untuk membangunkan seni tanah air.

Kita akan lihat adakah dasar yang ingin dilaksanakan Hans Isaac untuk merombak struktur industri perfileman negara yang disifatkan carca marba itu benar-benar dapat direalisasikan atau tidak.

Antara dasar yang ingin beliau laksanakan ialah ingin mewujudkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi penggiat seni dan mahu pastikan tiada ketirisan serta menjanjikan kesamarataan kepada semua penggiat industri perfileman negara.

Sumber: Malaysia Kini, Utusan