
Hans Isaac Pulangkan Gaji Selama 13 Bulan Sebagai Pengerusi FINAS
Selepas pertukaran Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dilakukan pada minggu lalu, Datuk Hans Isaac mengumumkan untuk memulangkan semua gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada industri penerbitan filem dan drama.
Wang yang dipulangkan itu akan disalurkan kepada semua penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat penularan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menurut Hans.
Hans juga mengakui tidak pernah mahukan apa-apa ketika menjawat jawatan sebagai Pengerusi FINAS.
“Jadi, sekarang apabila sudah tidak berada dalam agensi itu, saya akan pulangkan semua kepada industri dengan membantu golongan pekerja belakang tabir seperti jurukamera, ‘runner’, jurusolek dan sesiapa saja yang terbabit,” katanya.
Beliau yang juga merupakan penggiat seni mengakui ramai golongan seni terjejas apabila penggambaran perlu diberhentikan dan terbuka untuk berjumpa serta membantu mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Hans mengakui dirinya yang bukan ‘orang politik’ menjadikan dia mangsa keadaan sehingga menjadi sasaran beberapa persatuan yang sentiasa menekan dirinya.
Katanya, ketelusan dalam bekerja menjadikan dirinya kurang disenangi segelintir pihak. Beliau menegaskan industri kreatif tidak boleh membabitkan politik, jika tidak ia sememangnya tidak berjaya dan hal ini sudah sekian lama berlaku.
“Seperkara saya nak cakap, inilah masalah yang berlaku di Finas. Kalau tukar kerajaan, pimpinan dalam agensi ini pun ditukar. Sampai bila pun masalah tak selesai dan pembaharuan sukar dicapai. Malah, ia kena mula dari awal semula. Sekurang-kurangnya habiskan kontrak jawatan itu dulu,” katanya.
Sepanjang menjadi Pengerusi FINAS, beliau menyenaraikan sebanyak 26 pencapaian selama bersama perbadanan itu. Antara yang berjaya adalah apabila dapat mengukuhkan kembali kewangan FINAS yang sebelumnya tidak terurus.
Tempat Hans kini digantikan dengan Zakaria Abd Hamid yang juga aktivis masyarakat berkuatkuasa pada 23 Mei 2020.
BACA: Pengerusi Baharu FINAS Pasang Impian Mahu Filem Malaysia Tercalon Ke Oscar
Sumber: Harian Metro