Restoran Nasi Kandar Hameediyah Tertua

Hameediyah Diiktiraf Dalam Malaysia Book Of Records Sebagai Restoran Nasi Kandar Tertua

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Restoran Hameediyah di Georgetown, Pulau Pinang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini iaitu selama 114 tahun.

Restoran yang terletak di Campbell Street ini popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelawat asing dengan hidangan menggunakan resipi tersendiri sejak 1907.

Pemiliknya sekarang, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor yang merupakan generasi ketujuh keluarga Hameediya menerima sijil pengiktirafan daripada ketua pegawai eksekutif MBR Chrisptopher Wong pada Selasa (7 Julai).

Ahamed melahirkan kesyukuran atas pengiktirafan MBR itu dan berjanji akan terus menghidangkan makanan dan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan restoran berkenaan.

Menurutnya, restoran Hameediyah menerima ramai tetamu terhormat, seperti pelakon, menteri bahkan Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda berkenan berkunjung ke sini (Restoran Hameediyah) tahun ini, tetapi seperti kebanyakan pelanggan, kedatangan baginda tidak dijadualkan tetapi sekadar untuk menikmati makanan di sini,” katanya.

Asalnya seorang pedagang dari Tamil Nadu

Restoran Hameediyah sekarang yang terletak dalam bangunan rumah kedai lama amat berbeza daripada di premis ringkas di mana asalnya seorang pedagang dari Tamil Nadu, India Mohamed Thamby Rawther memulakan perniagaan sejak awal tahun 1900 bersama anak-anaknya.

Pada mulanya mereka menyewa sebuah rumah di Campbell Street untuk menjual rempah ratus sebelum menjual nasi dan kari di bawah pokok di padang yang terletak di depan rumah tersebut.

Makanan diletakkan dalam bakul besar yang ‘digandar’ (kandar) menggunakan sebatang kayu, hingga terlekat nama ikonik ‘nasi kandar.’

Lama-kelamaan setelah perniagaan mereka semakin maju, mereka menubuhkan Hameediyah Restoran di No. 164, Campbell Street yang kekal hingga ke hari ini.

Restoran Nasi Kandar Hameediyah Tertua

Rempah ratus turun-temurun rahsia umur panjang Restoran Hameediyah

Setiap hidangan di restoran Hameediyah diadun dengan cermat hasil pilihan rempah-rempah dari negara-negara seperti Turki, Pakistan, India dan Sepanyol. Tidak pernah menggunakan rempah yang dipasarkan secara komersial sebaliknya, rempah-rempah kelas A ini ditumbuk atau digiling dalam kadar yang tepat bagi memastikan rasanya kekal sama.

Kata Ahamed, campuran rempah untuk rendang daging lembu, biryani, murtabak, kari ayam, ayam kapitan dan kari dhal tetap tidak berubah sejak 100 tahun lalu.

Hari ini Restoran Hameediyah juga terkenal dengan hidangan rendang daging dan ayam kapitan, selain hidangan baharu termasuk kari arnab, ayam belanda, dan rendang udang galah.

Selain premis asal di Campbell Street, Restoran Hameediyah juga mempunyai cawangan di Jalan Baru, Perai, Kota Damansara dan Ampang di Lembah Klang. Sebuah lagi cawangan akan dibuka di Sungai Ara, Pulau Pinang bulan ini.

Sumber: Bernama

BACA: Bukan Nasi Lemak Bunga Telang Sahaja, Nasi Kandar Kari Kambing Turut Cipta Nama Di Ireland