
Hak Milikan Tanah Rizab Melayu Dikesan Diberi Kepada Bukan Melayu – PUTRA
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Perak mendakwa kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus tanah rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung telah diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.
Menurut Pengerusi Penyelaras PUTRA, Datuk Hamidah Osman, perkara tersebut dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.
Daripada keluasan tersebut, sebanyak 317 lot telah dipecahkan dan diberikan milikan bagi tujuan pertanian untuk tanaman getah serta kelapa sawit.
Pindahan yang jelas bertentangan dengan Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri ini merupakan satu kesalahan kerana tanah rizab Melayu tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Melayu.
BACA: Tawaran Belian Tanah Kampung Baru Oleh Kerajaan Masih Dibawah Harga Pasaran?
Hamidah menjelaskan mana-mana tanah yang dimansuhkan status rizab Melayu mesti digantikan dengan keluasan sama dengan serta merta dan sekiranya ia tidak berlaku, pembatalan tanah rizab tersebut adalah tidak sah berdasarkan Perkara 89 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai respon kepada dakwaan tersebut, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz memaklumkan akan membuat semakan lanjut mengenai hak milikan berkenaan.

Matlamat utama tanah rizab Melayu adalah ianya dikuasai oleh orang Melayu dan dimanfaatkan secara optimum untuk orang Melayu.
Namun ramai yang beranggapan bahawa tanah rizab Melayu termasuk dalam golongan kelas kedua dan sukar untuk dibangunkan – masih ketinggalam dalam arus pembangunan negara.
Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki dan dipindah milik kepada orang Melayu sahaja serta dijamin haknya dan perkara ini termaktub dalam Fasal 86 Perlembagaan Persekutuan.
Tahun lalu, isu penawaran harga pembelian tanah oleh kerajaan bagi membangunkan semula Kampung Baru telah menimbulkan kekecohan kerana tawaran harga untuk setiap kaki persegi dikatakan jauh lebih rendah dari harga pasaran.
Antara kebimbangan yang disuarakan penduduk mengenai isu tersebut ialah:
- Jika dibeli dengan harga lebih tinggi, harga bangunan yang bakal dibina dijangkakan akan meningkat dari luar kemampuan.
- Tanah Kampung Baru merupakan tanah rizab yang nilainya jauh lebih tinggi iaitu melebihi RM2,000 sekaki persegi, jadi jika dijual dengan harga jauh lebih rendah ini akan menyebabkan rizab Melayu terus menyusut.
Baca lanjut mengenai isu tawaran pembelian tanah Kamung Baru di artikel: Tawaran Belian Tanah Kampung Baru Oleh Kerajaan Masih Dibawah Harga Pasaran?