
Hadapi Krisis Hutang, iflix Kini Dilaporkan Sedang Dalam Perbincangan Untuk Dijual
Platform penstriman video, ifix kini dikatakan sedang hadapi krisis hutang dan sedang mencari pembeli untuk platform mereka meskipun pesaingnya, Netflix dilaporkan mencatatkan keuntungan mendadak susulan daripada wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Menurut laporan daripada media Nikkei, antara pembeli yang berpotensi untuk membeli platform berkenaan adalah dari China.
Pada April lalu, Pengerusi iflix, Patrick Grove dan pengasas bersama iflix, Luke Elliot telah meninggalkan barisan lembaga pengarah. Pada bulan yang sama juga, iflix dikatakan telah melakukan pengecilan tenaga kerja kurang dari 65 orang sebagai usaha mengurangkan kos operasi perkhidmatan susulan daripada tarikh akhir hutang yang semakin menghampiri iaitu pada 31 Julai ini.

Secara statistik, iflix hadapi krisis hutang dengan mencatatkan kerugian bersih sebanyak USD158.1 juta (+-RM675 juta) pada tahun 2018 dan pada tahun 2019 mempunyai modal kerja negatif sebanyak USD77.7 juta (+-RM331 juta).
Setakat ini, platform yang boleh didapati di 13 pasaran di Asia termasuklah Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand ini masih belum mengumumkan sama ada telah menerima sebarang suntikan dana baharu daripada pelabur.
Manakala platform pesaingnya, Netflix telah meraih keuntungan mendadak sebanyak 22% dengan pertambahan pelanggan baharu sebanyak dua kali ganda, iaitu sekitar 16 juta membawa kepada pendapatan suku tahunannya adalah sebanyak USD5.77 bilion berbanding anggaran sebanyak USD5.76 bilion.
Meskipun mencatatkan keuntungan, Netflix tidak gembira dengannya kerana pertumbuhan sewaktu perintah kawalan dunia ini akan menjadi trend ke hadapan daripada pertumbuhan organik selama bertahun-tahun.
Sumber: Amanz