Kerja Jalan Raya Sesak

‘Habis Usia Di Atas Jalan’ – Ramai Merungut Jalan Sesak Melampau Di Lembah Klang

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Media sosial hari ini dipenuhi rungutan orang ramai yang terpaksa menghadap kesesakan jalan raya setiap hari di sesetengah kawasan sekitar Lembah Klang sejak awal pagi.

Sejak negara beralih ke Fasa Peralihan Endemik pada 1 April lalu, jalan raya mula dipenuhi dengan pelbagai kenderaan susulan pembukaan sektor ekonomi dan kembalinya pekerja ke pejabat.

Menerusi ciapan pengguna Twitter, masjuju memaparkan satu rakaman kesesakan jalan raya sekitar selepas tol batu 11 Cheras.

“Ni lepas tol batu 11 Cheras, 6.40 pagi. Gila.”

Melihat maklum balas pertanyaan netizen, masjuju mengatakan dia terperangkap dalam kesesakan itu sekurang-kurangnya selama 30 minit.

Seorang lagi pengguna Twitter, @SyedAkramin pula meluahkan kesesakan jalan raya juga berlaku pada pukul 9 pagi.

“Kalau pukul 5.30 pagi jem, saya faham. Ini pukul 9 pagi pun jem juga. Apa bendanya?”

Orang ramai yang keluar bekerja sebelum matahari naik merasa lelah kerana perlu berhadapan dengan situasi ini setiap hari.

Rata-rata mendakwa punca kesesakan jalan raya kembali meningkat adalah disebabkan polisi syarikat yang memperuntukkan para pekerja datang ke pejabat walhal pernah melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

“Awal yang bagaimana nak kami keluar bekerja? Kita sudah lama tiada keseimbangan dalam pekerjaan.

“Balik lambat sebab nak elak sesak, keluar awal sebab nak elak sesak. Akhirnya, kita hanya menua dalam kereta dan atas jalan. Kita adalah hamba kerja.

“Tidakkah kita belajar daripada COVID? BDR sebenarnya berhasil. Tak perlu hadap sesak, kelam-kabut nak clock in semata-mata tak nak merah.

“Ia sangat mengecewakan,” tulis @SyazanaMI.

Bukan itu sahaja, senario yang memerlukan keluar rumah awal pagi untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan lewat masuk kerja juga menyebabkan anak-anak menjadi mangsa kurang perhatian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja.

Kerja Jalan Raya Sesak

Dalam pada itu, para pekerja mengharapkan masalah ini sampai ke pengetahuan majikan untuk mencari jalan terbaik bagi mengurus keseimbangan dalam pekerjaan.