
Guru Agama Perkosa 13 Pelajar Hingga Hamil Dihukum Mati, Berikut 7 Fakta Berkaitan
Seorang guru agama dijatuhkan hukuman mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Bandung kerana disabitkan kesalahan perkosa 13 pelajarnya sehingga hamil dan melahirkan anak.
Kes tersebut menjadi salah satu kes yang menarik perhatian Indonesia kerana melibatkan penderaan seksual yang berlaku di sekolah agama berasrama penuh.
Pihak mahkamah mendapati Herry Wirawan, 36, bersalah merogol 13 pelajar perempuan, kesemuanya di bawah umur dan sekurang-kurangnya lapan daripada mereka hamil.
Mahkamah Indonesia membenarkan rayuan Pendakwa Raya untuk hukuman mati selepas suspek pada mulanya menerima hukuman penjara seumur hidup pada Februari lalu.
“Selepas menerima rayuan yang dikemukakan Pendakwa Raya, maka Mahkamah Tinggi Bandung menjatuhkan hukuman mati terhadap Herry,” kata Ketua Hakim, Herri Swantoro.
Selepas suspek dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di kota Bandung pada Februari, Pendakwa Raya yang meminta hukuman mati telah memfailkan rayuan.
Menurut laporan media Indonesia, berikut merupakan fakta berkaitan:
1. Berdasarkan rekod kes, Herry melakukan perbuatan terkutuk itu sekitar tahun 2016 hingga 2021. Dia telah merogol kesemua 13 gadis yang berumur antara 12 hingga 16 tahun yang mana sembilan bayi lahir daripada lapan mangsa.
2. Di dalam prosiding, tertuduh didapati merogol kanak-kanak yang rata-ratanya daripada keluarga miskin dan bersekolah dengan pembiayaan biasiswa selama lima tahun.
3. Perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas keluarga seorang pelajar perempuan melaporkan Herry kepada polis kerana merogol dan menghamilkan anak perempuan mereka pada 2021.
4. Siasatan mendapati kejadian dilakukan di beberapa tempat seperti di sekolah, hotel dan apartmen. Dia menabur janji kepada mangsanya akan membiayai yuran sekolah, menikahi dan merawat bayi yang dilahirkan.
5. Selain memperkosa 13 pelajar, tertuduh juga didakwa menyalahgunakan bantuan sosial dan dana Program Indonesia Pintar dari Kementerian Agama.
6. Apabila hukuman mati itu dilaksanakan kelak, Herry Wirawan akan ditembak tepat pada bahagian jantung dari jarak dekat. Dia juga perlu menyediakan sejumlah wang pengembalian hampir 300 juta rupiah kepada mangsa-mangsanya.
7. Pegawai Indonesia dan Menteri Perlindungan Kanak-Kanak menyokong rayuan bagi mendapatkan hukuman mati namun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia membantah kerana dianggap tidak bersesuaian.
Indonesia antara negara berpenduduk Islam paling ramai di dunia, mempunyai puluhan ribu sekolah tahfiz berasrama dan sekolah agama, yang lazimnya menjadi pilihan pelajar dari keluarga miskin mendapatkan pendidikan.
Trending now



