Kad Touch 'n Go Fungsi NFC

Teknologi Baharu Kad Touch ‘n Go Ini Bakal Legakan Hati Pengguna Jalan Raya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pembukaan tahun 2022 ini dipenuhi dengan isu-isu yang menimbulkan kontroversi berkaitan penggunaan jalan raya.

Meskipun begitu, ada juga berita yang dapat melegakan hati ramai orang apabila Touch ‘n Go (TnG) akan melancarkan kad versi baharu yang mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) dalam beberapa minggu akan datang.

Ini bermakna, pengguna akhirnya boleh melakukan tambah-nilai ke kad berkenaan, terus melalui telefon pintar menggunakan aplikasi Touch n Go eWallet tanpa perlu ke kiosk khas.

Ciri sebegini sudahpun digunakan oleh pengguna jalan raya di Indonesia dan Singapura dan ini membuatkan orang ramai mengharapkan pihak Touch ‘n Go melaksanakan solusi sama di sini.

Untuk pengetahuan anda, ciri ini sepatutnya sudah tersedia sejak tahun lepas namun telah ditunda atas sebab-sebab tertentu.

Kad Touch 'n Go Fungsi NFC
Sumber: Harian Metro

Difahamkan, kad TnG sedia ada tidak mempunyai keupayaan untuk menambah nilai terus kad daripada eWallet kerana memerlukan pembaca kad khusus untuk melakukan transaksi atas sebab-sebab keselamatan.

Selain itu, Touch ‘n Go juga menyasarkan pengenalan kad prabayar Visa yang dipautkan dengan dompet-digital TnG eWallet pada tahun ini. Menerusi kaedah ini, rakyat Malaysia boleh menikmati kelebihan kedua-dua pilihan.

Walau bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan lagi bilakah tarikh sebenar dilancarkan. Sama-samalah kita menanti pengumumannya daripada pihak Touch ‘n Go sendiri.

TnG eWallet RM30 Cara Tebus
Sumber: Says

Dalam pada itu, pembayaran tol menggunakan kad TnG dikhabarkan akan ditamatkan pada 2025 dan laluan Smart Tag akan dimansuhkan secara peringkat.

BACA: Pembayaran Tol Guna Kad Touch ‘n Go Tetap Akan Dihentikan

Sumber: Berita Harian