Hawau Lahabau Melaka

Guna Perkataan ‘Hawau’ Dan ‘Lahabau’, Percakapan Serta Gurauan Orang Melaka Boleh Disalah Erti

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Minggu lalu, tular video pelanggan sebuah restoran di Banda Hilir, Melaka dimaki hamun ‘secukup rasa’ ketika sedang menjamu selera.

Restoran yang menyediakan hidangan asam pedas tersebut dikatakan memang popular dan tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan termasuk pelancong dari luar negeri sehingga ada yang sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan meja kosong.

Dikatakan premis tersebut juga pernah menjadi perhatian warganet sebelum ini gara-gara seorang influencer yang dihalau ketika sedang mempromosikan produk kecantikannya di situ.

Dalam penjelasannya kepada Utusan Malaysia, pemilik restoran tersebut berkata, suara dalam video itu adalah suara neneknya yang sedang marah kerana dia dan ibunya masih membenarkan pelanggan masuk sedangkan ketika itu restoran sudah hendak ditutup setelah makanan telah hampir habis.

“Kami orang Melaka, memang suara emak dan nenek saya bila bercakap sangat kuat seperti bergaduh tetapi kami bersembang hal lain, bukan memaki keluarga wanita seramai 10 orang sedang menjamu selera di restoran,” jelasnya.

Dalam satu lagi laporan, Utusan Malaysia turut menyatakan bahawa restoran tersebut sebenarnya tidak menggambarkan sikap sebenar masyarakat setempat di Melaka.

Seorang pesara tentera, Zulkifly Johar, 64, ketika ditanya berkata, kejadian seperti itu tidak seharusnya berlaku terutamanya melibatkan pelancong.

Menurutnya lagi, gurauan orang tempatan boleh disalah anggap sebagai kasar dan peniaga harus peka serta lebih berhati-hati ketika berinteraksi dengan pelanggan.

“Ada masanya percakapan atau gurauan orang Melaka boleh disalah erti jika orang luar tidak faham dengan cara masyarakat tempatan. Kalau pelancong luar dengar perkataan ‘hawau’ dan ‘lahabau’, pasti mereka akan berkecil hati.

“Tapi kita tak pernah cakap macam itu kepada orang yang kita tidak kenal atau tidak rapat. Kami masih boleh membezakan antara kawan-kawan dan pelancong luar,” jelasnya lagi.

Seorang peniaga, Robeah Ahmad, 59, ketika ditemui pula berkata, “Perkhidmatan kena ikhlas. Pelanggan bukan saja-saja datang, tapi hendak makan. Kita mungkin terbiasa bercakap begitu dengan rakan-rakan, namun perlu menukar lenggok bahasa apabila melibatkan pelanggan.”

Menurutnya lagi, tidak perlu sindir-menyindir atau berbahasa kasar kerana perbuatan tersebut kelak hanya akan merugikan perniagaan sendiri.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ‘hawau’ dan ‘lahabau’ merupakan kata makian yang membawa maksud celaka, tidak berguna, tidak boleh diharap atau haprak.

Hawau Lahabau Melaka

BACA: Tak Puas Hati Nasi Goreng Kosong RM6, Cetus Pergaduhan Di Restoran Nasi Kandar

Sumber & kredit foto: Utusan Malaysia